Sunday, January 17, 2010

Sukan: Chong Wei, Gade buat perhitungan

SEBELAH kaki Lee Chong Wei kian menghampiri gelaran sulung musim ini ketika hanya Peter Gade menjadi halangan terakhir yang perlu diatasi pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka Korea di Seoul, hari ini.

Pilihan utama kejohanan itu mara dengan cerita berbeza daripada lawannya dari Denmark. Malah, segala-galanya nampak mudah buat Chong Wei yang hanya memerlukan 37 minit bagi menundukkan naib juara dunia 2009 dari China, Chen Jin 21-11, 21-13.

Selepas mata awal diraih perseorangan negara, Chen Jin mengikat kedudukan 1-1. Namun, ketika pukulan kencang tampak setanding buat kedua-dua pemain, hantaran depan jaring ternyata menyebelahi Chong Wei yang menguasai mudah set pertama.

Chen Jin yang bangkit pada set kedua merampas pendahuluan sebelum pemain nombor satu dunia itu menyamakan mata 6-6 seterusnya 7-7 dan mencuri enam mata pada pertukaran servis, sebelum pantas menawan set kedua.

Sementara itu, laluan sukar pula ditempuh Gade yang tampil selaku pilihan kedua yang dipaksa bertarung selama 1 jam 2 minit untuk menumpaskan pemain dari China, Chen Long 21-13, 10-21, 21-17.

Malah, saingan berkenaan adalah pertarungan kedua berturut-turut menuntut stamina tinggi daripada Gade yang dipaksa berhempas pulas selama 1 jam 19 minit bagi mengenepikan perseorangan tuan rumah, Park Sung Hwan, di suku akhir kelmarin. Acara perseorangan wanita pula bakal menyaksikan pertembungan pemain tuan rumah, Sung Ji-hyun yang mengatasi rakan senegara, Bae Seung-hee 21-18, 17-21, 21-9 dengan pemain China, Wang Shixian yang mudah menewaskan Kim Hi-moon dari Korea Selatan 21-17, 22-20.

Beregu lelaki Korea yang juga pilihan utama, Jung Jae-sung-Lee Yong-dae pula menempuh pertarungan berganda pasangan China. Selepas menundukkan kombinasi Chai Bao-Zhang Nan 21-16, 22-20 semalam mereka akan berdepan Chai Yun-Fung Haifeng.

Pilihan kelima itu mara selepas mengenepikan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Yoshiteru Hirobe 21-15, 21-14.

Turut mara, beregu utama wanita China, Cheng Shu-Zhao Yunlei yang mengatasi Ha Jung-eun-Lee Kyung-won dari Korea Selatan 21-5, 21-14 untuk bertemu pasangan Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa yang menumpaskan kombinasi tuan rumah, Jung Kyung-eun-Yoo Hyun-young 14-21, 21-17, 21-14.

No comments:

Post a Comment