Friday, January 8, 2010

Nilai sebenar enjin F-5E RM303,570: Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menjelaskan nilai sebenar sebuah enjin pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk "afterburner" ialah RM303,570.

Beliau berkata, nilai itu adalah berdasarkan kontrak pembelian pada tahun 1972 dengan mengambil kira nilai tukaran mata wang negara pada masa itu.

"Bagi pesawat yang mempunyai dua enjin pula, nilai sebenar adalah antara RM3.895 juta hingga RM28.047 juta bergantung kepada kecanggihan peralatan pada ketika itu," katanya di sini, hari ini.


"Saya ingin menegaskan bahawa kontrak pembelian kes Foreign Military Sales dalam siri MF-D-SAV telah dibuat pada tahun 1972. Harga sebuah enjin ketika itu termasuk "afterburner" bernilai AS$121,428 dan kadar pertukaran mata wang Malaysia pada ketika itu ialah RM303,570," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai membetulkan laporan media hari ini yang antara lain menyebut enjin tersebut bernilai antara RM8.5 juta sehingga RM28 juta.

Isu harga enjin itu timbul selepas ada laporan media sebelum ini yang menyebut nilai dua enjin pesawat F-5E milik TUDM yang dicuri itu adalah RM50 juta.

Beliau berkata, nilai RM50 juta itu mungkin anggaran pihak lain berasaskan harga enjin baru pada masa ini, memandangkan kementeriannya dan pihak yang membuat siasatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Namun, tempoh yang lama diambil (untuk menjelaskan nilai enjin sebenar) sehingga tindakan mahkamah dilakukan adalah kerana lazimnya mengikut prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siasatan dalaman perlu dilakukan terlebih dulu.

"Oleh kerana kes ini membabitkan barangan teknikal, maka suatu tempoh yang panjang diambil bagi memperoleh semua maklumat dan dokumen yang berkaitan," katanya.

Semalam, dua orang iaitu seorang anggota TUDM berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat pembekalan dihadapkan di mahkamah atas dakwaan terbabit dalam mencuri dan menjual enjin pesawat itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment