Sunday, December 27, 2009

Warga Nigeria cuba letup pesawat AS


PESAWAT Northwest Airlines tiba di Lapangan Terbang Metropolitan Detroit selepas dilaporkan ada cubaan meletupkannya.

Semua penerbangan antarabangsa diarah ambil langkah keselamatan

DETROIT: Seorang pemuda Nigeria yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda, cuba meletupkan sebuah pesawat Amerika, ketika mendarat di Detroit, sebelum dia ditangkap penumpang dan anak kapal.

Abdul Farouk Abdulmutallab, 23, cedera teruk akibat melecur apabila dia cuba mengaktifkan peranti bahan letupan canggih di dalam pesawat Northwest Airlines dari Amsterdam yang membawa 278 penumpang.


Seorang pegawai kanan kerajaan yang dipetik media tempatan berkata, sejurus ditahan, Abdulmutallab memberitahu pihak berkuasa dia menggunakan picagari yang diisi bahan kimia dan melekatkan bahan itu di kakinya.

Akhbar memetik suspek sebagai berkata, dia mematuhi arahan al-Qaeda. Pegawai antikeganasan pula menegaskan terlalu awal untuk memastikan sama ada Abdulmutallab bertindak bersendirian.

Media yang memetik kenyataan buletin keselamatan persekutuan menyatakan Abdulmutallab memberitahu penyiasat dia mendapatkan peranti bahan letupan itu di Yaman bersama manual dan bila ia patut digunakan.

Pegawai Rumah Putih dan ahli perundangan Amerika mengesahkan kejadian itu adalah serangan keganasan, manakala Presiden Barack Obama yang sedang bercuti sempena Krismas bersama keluarganya di Hawaii, mengarahkan langkah keselamatan lebih ketat dilaksanakan di semua lapangan terbang di seluruh dunia.

"Kami percaya ini adalah cubaan melakukan keganasan.

"Selepas mesyuarat diadakan dengan penasihat kanan keselamatan, Obama 'mengarahkan langkah sewajarnya diambil untuk meningkatkan tahap kawalan di semua lapangan terbang'," kata seorang pegawai kanan Rumah Putih yang tidak mendedahkan namanya kepada wartawan.

Sementara itu, di ABUJA, Naib Presiden Nigeria, Goodluck Ebele Jonathan mengarahkan siasatan peringkat tinggi dilakukan berikutan cubaan warga negaranya untuk meletupkan pesawat Amerika itu.

Menteri Penerangan, Dora Akunyiki, berkata Abuja menerima dengan 'perasaan amat kecewa' berita cubaan meletupkan pesawat terbabit.

"Kami ingin menegaskan di sini bahawa sebagai sebuah negara, Nigeria menentang sebarang bentuk keganasan. Selain langkah mengenal pasti identiti suspek, agensi keselamatan kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Amerika dalam siasatan yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga memberi jaminan, kerajaan akan menyediakan semua maklumat terkini yang diperlukan bagi siasatan itu.

Laman web Nigeria Huhuonline.com, menyatakan bahawa Abdul Mutallab adalah anak kepada bekas Ketua United Bank for Africa dan First Bank of Nigeria, Umaru Mutallab, seorang akauntan dan ahli perniagaan. – AFP

No comments:

Post a Comment