Tuesday, December 22, 2009

Bukan satu tapi dua (Enjin Pesawat TUDM hilang)

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diberi penerangan mengenai Satelit RazakSAT oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (kiri), sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia ke-6 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Turut sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili (kanan). - Foto Bernama



Sebuah lagi enjin pesawat tempur F-5E TUDM hilang pada 2007

KUALA LUMPUR: Bukan satu tetapi dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang, masing-masing berharga RM50 juta, apabila sebuah lagi dipercayai hilang lima bulan selepas kehilangan enjin pertama.

Enjin yang kedua hilang ketika menunggu untuk diselenggarakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, dua tahun lalu dan disedari pada Mei 2008. Laporan polis dibuat tiga bulan kemudian.



Kejadian dipercayai berlaku pada 1 November 2007, ketika enjin berkenaan dibawa keluar dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth, yang menempatkan pangkalan operasi pesawat berkenaan untuk penyelenggaraan rutin di ibu negara. Sumber memberitahu Berita Harian, penghantaran enjin kedua menggunakan kontena dikendalikan sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat tentera dilantik kerajaan tetapi enjin berkenaan tidak tiba ke destinasinya.

Katanya, kehilangan kedua-dua enjin itu dipercayai didalangi kumpulan sama membabitkan orang dalam syarikat penyelenggara terbabit dengan bantuan orang dalam TUDM.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi, berkata pihaknya akan memulangkan semula fail siasatan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berikutan siasatan yang tidak lengkap termasuk ketiadaan butiran enjin termasuk jenis dan spesifikasinya.

Siasatan itu dikembalikan semula ke Bukit Aman bersama arahan terbaru, termasuk menyiasat kemungkinan pembabitan pihak lain, termasuk agensi kerajaan dalam kehilangan enjin berkenaan.

"Siasatan lebih mendalam, dengan butiran lebih terperinci amatlah diperlukan dalam pengendalian kes ini," kata Abdul Ghani.

Sabtu lalu Berita Harian mendedahkan kehilangan enjin jenis GE J85-21A pesawat tempur F-5E milik TUDM yang dipercayai antara skandal penyelewengan terbesar dalam sejarah TUDM. Maklumat risikan mengesahkan enjin itu dijual ke sebuah negara di Asia Barat.

Enjin berkenaan hilang bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya dari gudang simpanannya di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebaik tiba dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth. Berikutan itu TUDM membuat laporan polis dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kejadian itu.

TUDM mula menggunakan pesawat buatan Amerika Syarikat itu pada 1974 untuk tugasan tempur dan peninjau. Bagaimanapun hanya lapan masih digunakan sehingga kini masing-masing model RF-5E Tigereye dan F-5E Tiger II yang berpangkalan di Butterworth.

Sumber berkata, modus operandi kumpulan terbabit licik kerana menggunakan taktik berbeza ketika melarikan kedua-dua enjin berkenaan, dipercayai untuk dijual sebagai komponen alat ganti di pasaran gelap, terutama kepada pembeli antarabangsa.

Katanya, kehilangan kedua-dua enjin itu dilaporkan kepada polis pada 4 Ogos 2008 selepas siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikatakan menemui jalan buntu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, beliau mengarahkan supaya laporan polis dibuat sebaik menyedari kehilangan enjin pesawat itu.

"Kita akan tunggu sehingga laporan penuh keluar kerana kita bekerjasama dengan polis, malah apabila kita menyedari kejadian itu, kita melaporkan kepada polis dengan segera.

"Kementerian Pertahanan berpendirian kita perlu menyelesaikan perkara ini dan mengambil tindakan sesuai walaupun tindakan jenayah terhadap mereka terbabit... bukan hasrat kementerian dan TUDM menyembunyikan apa-apa pun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia keenam, semalam.

Kronologi kehilangan enjin pesawat tempur F-5E TUDM

26Jun 2007 - enjin pertama dihantar keluar

1November 2007 - enjin kedua dihantar keluar

Mei 2008 - enjin disedari hilang

4 Ogos 2008 - laporan polis dibuat

13 Mei 2009 - kertas siasatan dihantar kepada Peguam Negara

25 Jun 2009 - kertas siasatan dipulangkan dengan arahan untuk lengkapkan siasatan

18 November 2009 - kertas siasatan dihantar semula.

Dari meja Juvitaku:
Apa nak jadi dengan kerajaan Negaraku....

No comments:

Post a Comment