Wednesday, December 30, 2009

Syria uji anak didik Rajagobal malam ini

Oleh Norsyarafina Nasrom
norsyarafina@nstp.com.my













SKUAD emas bimbingan K Rajagobal bakal diuji menentang Syria dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini sebagai persediaan sebelum berdepan Emeriah Arab Bersatu (UAE) bagi pusingan kelayakan Piala Asia, 6 Januari ini.

Seperti kelaziman yang dilakukan jurulatih kebangsaan itu, semua 23 pemain bakal diuji bagi menentukan 18 pemain yang layak membawa cabaran negara ketika pertemuan dengan UAE nanti.

“Pertukaran pemain mungkin banyak akan berlaku dalam perlawanan malam esok (ini) kerana saya akan menilai sejauh mana kemampuan setiap pemain. Namun pemain senior, Amri Yahyah mungkin tidak beraksi ekoran kecederaan lutut kanannya yang masih belum pulih,” kata Rajagobal.



Menurut Rajagobal, Amri akan terus diberi peluang membuktikan kecergasannya sehingga barisan 18 pemain dinamakan sebelum skuad kebangsaan berlepas ke UAE pada Isnin ini.

“Peluang Amri agak samar untuk berdepan UAE, namun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana saya yakin pemain lain bersedia menghadapi segala situasi yang mendatang. Mereka sudahpun membuktikannya ketika di Sukan Sea Laos baru-baru ini.”

Syria yang menduduki ranking ke-91 dunia dilihat sebagai ujian yang tidak kurang hebatnya buat skuad kebangsaan, namun Rajagobal mempunyai misi tersendiri dalam impiannya membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Saya yakin semua tahu peluang skuad kebangsaan untuk beraksi dalam Piala Asia adalah tipis, namun ada sesuatu yang saya mahu mereka buktikan sekurang-kurangnya mendapat penghormatan dari lawan dan banyak pengalaman yang boleh mereka perolehi.”

No comments:

Post a Comment