Friday, January 8, 2010

Nilai sebenar enjin F-5E RM303,570: Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menjelaskan nilai sebenar sebuah enjin pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk "afterburner" ialah RM303,570.

Beliau berkata, nilai itu adalah berdasarkan kontrak pembelian pada tahun 1972 dengan mengambil kira nilai tukaran mata wang negara pada masa itu.

"Bagi pesawat yang mempunyai dua enjin pula, nilai sebenar adalah antara RM3.895 juta hingga RM28.047 juta bergantung kepada kecanggihan peralatan pada ketika itu," katanya di sini, hari ini.


"Saya ingin menegaskan bahawa kontrak pembelian kes Foreign Military Sales dalam siri MF-D-SAV telah dibuat pada tahun 1972. Harga sebuah enjin ketika itu termasuk "afterburner" bernilai AS$121,428 dan kadar pertukaran mata wang Malaysia pada ketika itu ialah RM303,570," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai membetulkan laporan media hari ini yang antara lain menyebut enjin tersebut bernilai antara RM8.5 juta sehingga RM28 juta.

Isu harga enjin itu timbul selepas ada laporan media sebelum ini yang menyebut nilai dua enjin pesawat F-5E milik TUDM yang dicuri itu adalah RM50 juta.

Beliau berkata, nilai RM50 juta itu mungkin anggaran pihak lain berasaskan harga enjin baru pada masa ini, memandangkan kementeriannya dan pihak yang membuat siasatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Namun, tempoh yang lama diambil (untuk menjelaskan nilai enjin sebenar) sehingga tindakan mahkamah dilakukan adalah kerana lazimnya mengikut prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siasatan dalaman perlu dilakukan terlebih dulu.

"Oleh kerana kes ini membabitkan barangan teknikal, maka suatu tempoh yang panjang diambil bagi memperoleh semua maklumat dan dokumen yang berkaitan," katanya.

Semalam, dua orang iaitu seorang anggota TUDM berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat pembekalan dihadapkan di mahkamah atas dakwaan terbabit dalam mencuri dan menjual enjin pesawat itu. - Bernama

Tuesday, January 5, 2010

Mangkuk & Sungguh Durjana Tali Barut yang sembunyi fakta

Siasatan Enjin Jet Hilang: Mungkin Fakta Dan Bukti Juga Dihilangkan


http://buletinonline.net/images/stories/berita17/F5EMalaysia.jpg
- Suruhanjaya Diraja Saja Yang Meyakinkan

Pengumuman yang di buat oleh Peguam Negara tentang hasil siasatan yang di buat oleh Polis sangat tidak meyakinkan malah sangat meragukan.

Peguam Negara menyatakan tidak ada Pegawai Kanan atasan TUDM yang terlibat dengan kehilangan enjin jet F5E, katanya yang terlibat hanya Pegawai Rendah sahaja.

Persoalannya ialah adakah kehilangan enjin jet hanya membabitkan Pegawai Rendah dan anggota biasa sahaja?

Ini bukan kehilangan spare part di kedai baiki kereta yang boleh seorang pormen boleh masukan barang dalam poket dia dan keluar dari kedai tersebut untuk jual di pasaran gelap.

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/ne_02.2.jpgKalau spare part kedai baiki motor hilang boleh lah di katakan tauke tak tahu ini enjin jet dan bukannya boleh di junjung di atas bahu seorang prebet cabuk TUDM, melainkan mesti satu pakatan yang cukup bersetrategi.

Ingin saya nyatakan berkaitan siasatan Polis yang di umumkan oleh Peguam Negara bahawa tiada penglibatan Pegawai Kanan atasan sangat meragukan.

Tempoh masa yang panjang setahun 4 bulan bermula dari Ogos 2008 untuk siasatan dan tolak menolak antara Peguam Negara dan PDRM memungkinkan sebagai satu strategi untuk memadam dan menghilangkan bahan bukti dan fakta kes yang membabitkan Pegawai Kanan atasan TUDM dan penglibatan politik di KEMENTAH dan Kerajaan.

Bukti yang jelas dalam kes kematian Altantuya ialah dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sepatutnya berada dalam simpanan Imegresen telah di hilangkan.

Begitu juga dalam kes kehilangan enjin jet ini. Kenyataan awal yang di buat oleh Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa ada pegawai pangkat Bregedia Jeneral dan berbagai pangkat telah di ambil tindakan di berhentikan kerana terlibat dalam kes ini tetapi kemudian di nafikan dengan kenyataan mengatakan mereka di berhentikan kerana kes yang lain. Ini menunjukkan ada sesuatu yang cuba di sembunyikan.

Saya mencabar Perdana Menteri jika benar beliau menyatakan kerajaan tidak hendak menyembunyikan apa-apa dalam kes ini, beliau mesti berani menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk mengendalikan siasatan dalam kes kehilangan enjin jet atau pun sekurang-kurangnya memanggil segera sidang khas Parlimen dan membawa satu usul pembentukkan Jawatankuasa Siasatan Bebas di bawah Parlimen.

Jika tidak saya menganggap siasatan yang di umumkan oleh Peguam Negara adalah satu konspirasi antara PDRM, TUDM, AG dan BN untuk memangsa dan mengkambing hitamkan Pegawai Rendah TUDM bagi menyelamatkan kepentingan politik BN bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam isu pembelian dan penjualan keperluan dalam industri Pertahanan yang melibatkan amalan rasuah dan penyelewengan pemimpin BN.

DATUK HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS.


Pendirian Rasmi PAS, Bukan Islam Guna Nama 'Allah'

Oleh Hj Abdul Hadi Awang. Presiden PAS


"PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam."

Kenyataan Rasmi
Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang
Jan 04, 10.

Pendirian PAS ini dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi, Jan 04 2010.

Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.

Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini. Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut. Keputusan ini menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi. Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Dari meja Juvitaku:
Renungan bersama: Jelaslah Allah adalah tuhan yang wajib disembah dan nabi Muhammad itu Rasul Allah. Tapi masih ramai yang melanggar hukum Allah. Kenape yeee..?

Monday, January 4, 2010

Suami wanita mati dalam almari ditahan malam tadi



KUALA LUMPUR, Jan 4 — Mohafri Mohamed, yang diburu polis berhubung pembunuhan isterinya, yang ditemui mati berbungkus selimut dalam almari pakaian di rumahnya di Pinggiran Ukay di sini pada 30 Dis lepas, ditahan di pekarangan Zoo Negara malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata lelaki berusia 37 itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam.

Semasa ditahan Mohafri ditemui dalam keadaan kebingungan dan mundar mandir di kawasan berkenaan.

“Kita mendapat panggilan daripada orang awam yang ternampak kelibat lelaki tersebut di kawasan itu,” katanya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang pukul 9 pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.

Gambar suspek diedarkan di seluruh negara sebelum ini.

Mayat Fazlina Ahmad, 39, ditemui dalam almari bilik tidur utama rumah teres dua tingkatnya dengan keadaan mulut dan hidungnya ditampal pita pelekat dan dibungkus selimut. — Bernama

Sunday, January 3, 2010

Penjenayah siber sasar facebook

WASHINGTON: Rangkaian sosial akan berdepan pertambahan serangan penggodam canggih pada tahun ini, namun penguatkuasa undang-undang dijangka mengambil langkah panjang memerangi jenayah siber, menurut syarikat keselamatan web McAfee Labs.

“Ledakan aplikasi Facebook dan perkhidmatan lain menawarkan peluang sesuai kepada penjenayah siber, untuk mengambil kesempatan terhadap hakikat seseorang pelayar akan mengklik jaringan walaupun ia was-was apabila dihantar rakan jaringan sosial mereka,” kata McAfee.

Dalam laporan Ramalan Ancaman 2010, McAfee berkata ia menjangka melihat peningkatan ancaman ke atas keselamatan perbankan dan peningkatan dalam penggunaan ‘botnets’, sekumpulan komputer yang dijangkiti digunakan menyebarkan perisian berbahaya atau malware.



“Bagaimanapun pada 2010, kami menjangka menyaksikan peningkatan dalam keberkesanan penguatkuasaan undang-undang untuk menentang jenayah siber,” kata Santa Clara, California, syarikat keselamatan komputer dalam laporan dikeluarkan awal minggu ini. - Agensi

McAfee berkata produk Adobe mungkin berdepan peningkatan ancaman tahun ini dan sistem operasi komputer Chrome oleh Google mungkin “mencetuskan satu lagi peluang kepada penulis malware untuk meninjau pengguna.”

“Penjenayah siber sekian lama memilih produk Microsoft berikutan kepopularannya,” kata laporan. “Pada 2010, kami menjangka perisian Adobe, terutama Acrobat Reader dan Flash, mengambil tempat teratas.

“Berdasarkan aliran terkini, kami juga menjangka pada 2010, eksploitasi produk Adobe kemungkinan melepasi aplikasi Microsof Office dalam jumlah desktop komputer peribadi yang diserang.”

McAfee berkata penggodam dijangka mengambil peluang pertambahan perkhidmatan kependekan URL seperti bit.ly and tinyurl.com.

“Perkhidmatan itu kini muncul dalam segala bentuk komunikasi, menjadikannya mudah untuk mengabui URL yang mana pengguna diminta mengkliknya,” katanya.

“Penipuan itu akan memainkan peranan lebih menonjol pada 2010, ia adalah tempat sesuai untuk mengalihkan pengguna ke laman web yang sering was-was untuk dikunjungi. - Agensi

Sumber: Berita Harian

Saturday, January 2, 2010

Siasatan kehilangan enjin F-5E kini tunggu tindakan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hanya Peguam Negara behak mengeluarkan kenyataan mengenai siasatan kes kehilangan enjin pesawat jet pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta menentukan tindakan undang-undang yang bakal dilaksanakan.

"Polis sudah menyerahkan sepenuhnya kertas siasatan (kes itu) kepada Peguam Negara, dan kini tunggu Peguam Negara untuk ambil tindakan undang-undang melalui mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melepaskan peserta Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri 7/2010,di Stadium Bukit Jalil,di sini.


Media baru-baru ini melaporkan kehilangan enjin jet pejuang F-5E TUDM pada 2007 yang dikatakan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa. - Bernama

Dari meja Juvitaku:
Cadangan supaya pengkhianat negara tuu kita buat "Party Blanket" satu Malaysia. Amacam skot? setuju...

‘Wahyu’ jamah isteri orang

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


















PUTRAJAYA: Seorang bomoh didakwa bukan saja mampu memperoleh ‘wahyu dari langit’ bagi menjatuhkan talak terhadap pasangan suami isteri, malah licik memukau wanita supaya menjalinkan hubungan seks dan tinggal serumah dengannya.

Lelaki berusia 50-an yang sudah beristeri itu juga bijak menjerat pasangan ‘bermasalah’ yang mendapatkan khidmatnya selain menawarkan kuliah pengajian agama di rumah banglonya, di Lembah Klang.

Berbekalkan perwatakan alim, lelaki terbabit bersedia menawarkan bilik bagi pasangan yang mahu tinggal di rumahnya sepanjang tempoh ‘pembersihan diri’ sebelum memulakan taktik bagi memerangkap wanita.

Bagaimanapun, kegiatan bomoh yang terkenal di kalangan ahli perniagaan bagi mendapatkan projek itu, terbongkar selepas suami kepada seorang wanita 50-an yang mendapatkan khidmat bomoh itu mendakwa isterinya tidak mahu pulang dan sanggup tinggal di rumah bomoh berkenaan.






Sebelum kejadian, pasangan golongan berada dari Ipoh, Perak terbabit mendapatkan khidmat bomoh terbabit bagi melariskan perniagaan mereka, selain mahu meningkatkan ilmu keagamaan daripada bomoh itu.

Sumber memberitahu Harian Metro, pasangan 50-an terbabit ditawarkan tinggal di banglo bomoh terbabit untuk tempoh dua minggu sebagai syarat bagi melangsaikan semua permintaan dan khidmat bomoh terbabit.

Menurutnya, mangsa tidak mengesyaki sebarang gelagat buruk bomoh terbabit sehinggalah isterinya merayu mahu tinggal untuk tempoh seminggu lagi walaupun semua urusan selesai.

Bukan itu saja, katanya, bomoh terbabit juga mengakui isteri lelaki terbabit perlu tinggal lebih lama di banglonya bagi memulihkan semangat yang diganggu ‘benda halus’.

“Bomoh itu memberitahu, isteri lelaki terbabit sering meracau dan tidak sedarkan diri dan perlu dipulihkan dengan segera.

“Suami wanita terbabit membenarkan sesi pemulihan dilakukan terhadap isterinya kerana percaya dan yakin dengan kata-kata bomoh terbabit yang berperwatakan alim itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang mengejutkan, isteri lelaki terbabit tidak mahu pulang mengikut suaminya sebaik saja tempoh seminggu permulihan selesai, malah berkeras mahu terus tinggal di banglo terbabit.

Bukan itu saja, katanya, bomoh terbabit juga secara berdepan memberitahu lelaki terbabit bahawa dia menerima ‘wahyu dalam mimpi’ yang memberitahu perkahwinan lelaki terbabit dengan isterinya sudah tertalak dan tidak boleh hidup bersama.

“Bomoh itu mengakui menerima wahyu yang mentalakkan perkahwinan lelaki terbabit menyebabkan pasangannya tidak boleh hidup bersama dan hanya tinggal di banglo itu.

“Bukan itu saja, isteri bomoh terbabit juga mengiyakan wahyu yang diterima itu menyebabkan lelaki terbabit terpaksa menggunakan pendekatan lain termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan isterinya yang dipercayai cuba disembunyikan bomoh itu,” katanya.

Sumber berkata, dia tidak menolak kemungkinan isteri lelaki itu yang terkena ilmu hitam ‘dijamah’ bomoh itu sehingga sanggup mengikut bomoh terbabit.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, bomoh terbabit membawa ajaran wahyu dari langit yang diterima melalui mimpi yang perlu dilaksanakan, termasuk ‘menjamah’ isteri lelaki lain yang mendapatkan khidmatnya.

Malah, sumber berkata, maklumat juga mendapati bomoh terbabit juga dipercayai menggunakan kaedah ‘nikah batin’ yang membolehkan mangsa mempercayai bomoh itu sudah menjadi suaminya yang sah.

“Selain itu, peranan licik isteri bomoh yang sudah dipengaruhi ajaran pelik suaminya, dipercayai mengukuhkan lagi kegiatan bomoh terbabit yang nekad meniduri isteri lelaki lain dengan alasan menerima wahyu yang membolehkannya berbuat demikian,” katanya yang tidak menolak kemungkinan beberapa pasangan lain juga menjadi mangsa rakus bomoh terbabit.

Bagi mengelak kejadian buruk terhadap isterinya, suami wanita terbabit kembali semula ke banglo bomoh terbabit sebelum diberitahu isterinya tidak lagi menetap di banglo itu.

Bomoh terbabit memberitahu, isteri lelaki itu meninggalkan banglo terbabit dan tinggal di sebuah rumah di utara tanah air bersama dengan saudaranya.

“Apa yang mengejutkan, lelaki terbabit memberitahu isterinya tidak ada di tempat yang dimaksudkan bomoh terbabit dan mengesyaki bomoh itu menyimpan isterinya,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan mangsa yang bimbang bomoh terbabit memperalatkan isterinya untuk tujuan tertentu.

Sumber itu berkata, berdasarkan kepada ajaran yang diamalkan bomoh terbabit, tidak mustahil isteri lelaki itu sudah menjadi ‘isterinya’ dan tidak menolak kemungkinan wanita itu juga sudah ditiduri oleh lelaki terbabit.