Wednesday, December 23, 2009

Harga komoditi dijangka meningkat tahun depan

Yahooo la orang kampung yang ada sawit...
Tuan punya ladang lagi laaa senyum...


KUALA LUMPUR: Harga di pasaran komoditi dijangka menunjukkan arah aliran yang meningkat pada tahun depan apabila penganalisis dan peserta industri menjangka harga komoditi utama seperti minyak sawit, keluli dan emas melonjak berikutan permintaan kukuh dan sentimen pasaran yang lebih baik.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Kumpulan Interband, Jim Teh, berkata wujud kemungkinan pasaran minyak sawit mengalami kenaikan harga pada separuh kedua tahun depan.

"Lebih ramai peserta asing dijangka memasuki pasaran itu pada tahun depan," katanya baru-baru ini, sambil menyatakan ia adalah berikutan kerjasama antara Bursa Malaysia dan CME Group Inc, yang juga adalah pasaran derivatif paling pelbagai dan paling besar di dunia.



Perkongsian itu yang membabitkan pelesenan harga penyelesaian hadapan minyak sawit mentah mentah (MSM) Bursa Malaysia Derivatives Bhd akan meningkatkan lagi pengiktirafan MSM Malaysia sebagai penanda aras minyak makan antarabangsa.

Pada 2009, MSM mencecah paras tertinggi RM2,894 setan metrik pada 13 Mei, 2009.

Sehingga Disember, kontrak hadapan MSM diniagakan antara RM2,400 hingga RM2,600 satu tan metrik dan penganalisis mengunjurkan bahawa iklim yang lebih panas berikutan corak iklim El-Nino dan permintaan yang lebih kukuh, terutama sekali dari China dan India, akan melonjakkan harganya kepada RM3,000 pada tahun depan.

"Bagaimana pun, wujud kebimbangan bahawa stoknya yang kekal tinggi akan memberi tekanan kepada harga," katanya.

Sementara itu, kebimbangan mengenai langkah pemulihan ekonomi global juga akan mempunyai sedikit kesan kepada pasaran komoditi, dengan bank-bank menghadkan kredit yang dihulurkan kepada perniagaan bagi menunjukkan langkah berhemah.

Sungguh pun begitu, pengeluar masih boleh tersenyum untuk menuju ke bank berikutan catatan keuntungan yang agak berpatutan kerana kos pengeluaran masih rendah antara RM1,200 hingga RM1,500 satu tan metrik.

Laporan Penyelidikan Ekuiti Malaysia MIDF menyatakan bahawa MSM telah menunjukkan prestasi lebih baik dari pencabar terdekatnya, iaitu minyak kacang soya, sehingga 25 November 2009 kerana pembeli minyak makan beralih kepada MSM sebagai gantian yang lebih murah.

Katanya, diskaun MSM yang besar sebanyak 34 peratus bagi minyak kacang soya sehingga akhir 2008, adalah sebab utama harga MSM meningkat pada tahun ini.

Bagi pasaran getah, penganalisis berkata, bekalan yang kecil telah mendorong kenaikan harga getah yang lebih tinggi pada tahun ini.

Keluaran getah global pada tahun ini sebanyak 9.36 juta tan metrik adalah 640,000 tan metrik lebih rendah daripada yang didaftarkan pada 2008, demikian menurut Persatuan Getah Vietnam (VRA).

Kenaikan harga minyak mentah serta bekalan yang rendah di negara pengeluar Thailand, Indonesia dan Malaysia berikutan kombinasi iklim kemarau dan hujan, telah menyebabkan harga getah meningkat lebih 20 peratus pada tahun ini.

Di pasaran tempatan, pada 22 Disember, harga SMR20 sudah mencatatkan paras tertingginya sebanyak 954 sen sekilogram (s/kg) manakala harga lateks pukal melonjak kepada paras tertingginya sebanyak 601 sen s/kg pada 7 Disember.

Menurut VRA, harga getah yang dieksport melonjak ke paras tertinggi sekitar AS$2,300 setan metrik pada Disember.

Harga yang tinggi itu menyebabkan pengguna utama seperti China untuk tidak memasuki pasaran tetapi peniaga menjangka harga akan turun pada awal tahun depan, sebelum mengukuh semula apabila momentum pemulihan ekonomi global kian cepat.

Harga getah akan dipengaruhi peningkatan pengeluaran tayar dan permintaan.

Di dalam pasaran logam, penganalisis menjangka harga bergerak lebih tinggi pada tahun depan berikutan bertambah baiknya ekonomi global.

Harga tembaga dan aluminium telah mencecah paras tertinggi pada Disember apabila momentum pembelian kian meningkat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin menurun mengenai masalah hutang Dubai.

Bagi timah, Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) telah dniagakan pada paras tertinggi untuk tempoh 14 bulan pada 21 Disember, apabila harga logam itu mencecah AS$15,740 setan metrik sejajar dengan peningkatan harga logam antarabangsa.

Menurut penganalisis, permintaan bagi mendapatkan timah perindustrian sebahagiannya dipacu oleh kekurangan bekalan dan keinginan pelabur yang kian meningkat untuk menyimpan aset berasaskan logam.

Penganalisis Penyelidikan OSK, Ng Sem Guan, berkata harga keluli juga dijangka bergerak lebih tinggi pada tahun depan berikutan usaha sama antara dua pelombong utama, iaitu BHP Billiton Ltd dan Rio Tinto Group.

BHP Billiton, syarikat perlombongan terbesar di dunia dan Rio Tinto, pengeksport bijih besi kedua terbesar, telah menyatukan operasi bijih besi Australia Barat masing-masing yang bakal memberi kesan kepada harga keluli. Bijih besi, yang kebanyakannya digunakan di dalam pengeluaran keluli.

Pada Disember, harga keluli dicatatkan sekitar AS$500 satu tan metrik.

Sementara itu, emas menjadi tarikan sebagai komoditi selamat dengan harga sentiasa berada pada paras tinggi berikutan kekurangan bekalan serta ketidakstabilan pasaran kewangan.

Emas kini diniagakan sekitar AS$1,080 hingga AS$1,100 seauns.

Bank pusat di seluruh dunia kini dikatakan menyandarkan semula lebih banyak rizab kepada emas berbanding dengan kelas aset yang lain yang kebanyakannya di dominasi oleh dolar Amerika Syarikat. - Bernama

Dari meja Juvitaku:
Sesiapa yang ada tunai boleh laa beli Dinar Emas sebagai aset...akhir zaman Dinar emas akan gemilang semula kan?

Tuesday, December 22, 2009

Bukan satu tapi dua (Enjin Pesawat TUDM hilang)

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diberi penerangan mengenai Satelit RazakSAT oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (kiri), sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia ke-6 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Turut sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili (kanan). - Foto Bernama



Sebuah lagi enjin pesawat tempur F-5E TUDM hilang pada 2007

KUALA LUMPUR: Bukan satu tetapi dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang, masing-masing berharga RM50 juta, apabila sebuah lagi dipercayai hilang lima bulan selepas kehilangan enjin pertama.

Enjin yang kedua hilang ketika menunggu untuk diselenggarakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, dua tahun lalu dan disedari pada Mei 2008. Laporan polis dibuat tiga bulan kemudian.



Kejadian dipercayai berlaku pada 1 November 2007, ketika enjin berkenaan dibawa keluar dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth, yang menempatkan pangkalan operasi pesawat berkenaan untuk penyelenggaraan rutin di ibu negara. Sumber memberitahu Berita Harian, penghantaran enjin kedua menggunakan kontena dikendalikan sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat tentera dilantik kerajaan tetapi enjin berkenaan tidak tiba ke destinasinya.

Katanya, kehilangan kedua-dua enjin itu dipercayai didalangi kumpulan sama membabitkan orang dalam syarikat penyelenggara terbabit dengan bantuan orang dalam TUDM.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi, berkata pihaknya akan memulangkan semula fail siasatan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berikutan siasatan yang tidak lengkap termasuk ketiadaan butiran enjin termasuk jenis dan spesifikasinya.

Siasatan itu dikembalikan semula ke Bukit Aman bersama arahan terbaru, termasuk menyiasat kemungkinan pembabitan pihak lain, termasuk agensi kerajaan dalam kehilangan enjin berkenaan.

"Siasatan lebih mendalam, dengan butiran lebih terperinci amatlah diperlukan dalam pengendalian kes ini," kata Abdul Ghani.

Sabtu lalu Berita Harian mendedahkan kehilangan enjin jenis GE J85-21A pesawat tempur F-5E milik TUDM yang dipercayai antara skandal penyelewengan terbesar dalam sejarah TUDM. Maklumat risikan mengesahkan enjin itu dijual ke sebuah negara di Asia Barat.

Enjin berkenaan hilang bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya dari gudang simpanannya di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebaik tiba dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth. Berikutan itu TUDM membuat laporan polis dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kejadian itu.

TUDM mula menggunakan pesawat buatan Amerika Syarikat itu pada 1974 untuk tugasan tempur dan peninjau. Bagaimanapun hanya lapan masih digunakan sehingga kini masing-masing model RF-5E Tigereye dan F-5E Tiger II yang berpangkalan di Butterworth.

Sumber berkata, modus operandi kumpulan terbabit licik kerana menggunakan taktik berbeza ketika melarikan kedua-dua enjin berkenaan, dipercayai untuk dijual sebagai komponen alat ganti di pasaran gelap, terutama kepada pembeli antarabangsa.

Katanya, kehilangan kedua-dua enjin itu dilaporkan kepada polis pada 4 Ogos 2008 selepas siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikatakan menemui jalan buntu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, beliau mengarahkan supaya laporan polis dibuat sebaik menyedari kehilangan enjin pesawat itu.

"Kita akan tunggu sehingga laporan penuh keluar kerana kita bekerjasama dengan polis, malah apabila kita menyedari kejadian itu, kita melaporkan kepada polis dengan segera.

"Kementerian Pertahanan berpendirian kita perlu menyelesaikan perkara ini dan mengambil tindakan sesuai walaupun tindakan jenayah terhadap mereka terbabit... bukan hasrat kementerian dan TUDM menyembunyikan apa-apa pun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia keenam, semalam.

Kronologi kehilangan enjin pesawat tempur F-5E TUDM

26Jun 2007 - enjin pertama dihantar keluar

1November 2007 - enjin kedua dihantar keluar

Mei 2008 - enjin disedari hilang

4 Ogos 2008 - laporan polis dibuat

13 Mei 2009 - kertas siasatan dihantar kepada Peguam Negara

25 Jun 2009 - kertas siasatan dipulangkan dengan arahan untuk lengkapkan siasatan

18 November 2009 - kertas siasatan dihantar semula.

Dari meja Juvitaku:
Apa nak jadi dengan kerajaan Negaraku....

Monday, December 21, 2009

Pegangan Saham Kerajaan dalam GLC Dikurangkan 2010

APA NAK JADI DENGAN KERAJAAN NEGARAKU...

Beberapa hari lagi, kerajaan (persekutuan) akan mula mengurangkan pegangan saham dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaaan (GLC)

Menurut Menteri, kewangan kerajaan sekarang kurang cair.

IPOH: Semua saham milik kerajaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dikurangkan mulai tahun depan bagi menambah kecairan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, langkah tersebut membabitkan 17 GLC di bawah Kementerian Kewangan dan adalah antara pendekatan yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang sebanyak lima peratus pada 2010.

“Syer kerajaan dalam GLC akan ditawarkan di Bursa Malaysia untuk dimiliki oleh syarikat swasta.

“Ia adalah inisiatif yang diambil untuk meningkatkan kecairan,” katanya selepas perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak 9-Sebelah Veteran anjuran Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini. (Berita Harian)


Dari meja Juvitaku:

Apa nak jadi dengan kerajaan sekarang?..Tarak duit kaaaa..
Saya bukan nak mengkritik pengurusan kerajaan kita...cuma untuk memberi sedikit pendapat..

1. Apa motif kerajaan nak kurangkan share dalam GLC? Takade duit? Atau nak lepas tangan sebagai tanggung jawab kerajaan?
2. Mana pegi hasil kutipan cukai, saman dan sebagainya..?
3. Apa nak jadi dengan rakyat kebanyakkan, bila kerajaan tiada tanggung jawab sebagai kerajaan yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyatnya.

4. Apa yang kerajaan bolah buat bila berlaku kecemasan? Kemusnahan, peperangan, atau kegawatan ekonomi?

Thursday, December 17, 2009

Jemaah tabligh

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
















KETIKA awal kehadirannya, ramai yang pelik melihat gelagat mereka yang mengusung beg, periuk, cerek dan pinggan dari satu masjid ke satu masjid.

Dengan ketayap putih di kepala dan berjanggut, mereka sering diberi pandangan negatif.

Namun, lama kelamaan apabila jumlahnya semakin ramai, masyarakat mulai sedar mereka adalah kumpulan pendakwah yang dipanggil 'tabligh'.

Penulis turut mempunyai pengalaman diajak keluar bersama-sama menyertai sebahagian gerak kerja dakwah ketika di kampus.

Ketika itu ahlinya terdiri daripada pelajar sendiri yang akan melawat dari bilik ke bilik bagi menyampaikan peringatan atau tazkirah pendek yang dirungkai daripada hadis nabi atau ayat al-Quran.

Jadi pada setiap malam selepas solat Maghrib, dua hingga tiga ahli jemaah akan bersama dalam sesi tazkirah yang mereka sampaikan.















Mengikut sejarah, tabligh adalah jemaah Islam yang berpusat di India. Ia ditubuhkan pada akhir dekad 1920-an oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi di Mewat, sebuah wilayah di India.

Tabligh dilahirkan bagi mengajak masyarakat India Muslim yang masih berpegang kepada budaya Hindu melaksanakan Islam secara total.

Jemaah tabligh memegang kepada manhaj (formula) yang dijadikan dasar penting sebagai rujukan yang dinamakan Ushulus Sittah (enam dasar).

Ia merealisasikan kalimat thoibah, solat dengan khusyuk dan khudu' (penuh ketundukan), ilmu dan zikir, memuliakan Muslim, membaiki niat dan mengikhlaskannya serta keluar (khuruj) di jalan Allah.

Gerakan ini menjalankan tugas berdakwah tanpa mengambil kira asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya.

Jemaah tabligh mempunyai markas di setiap negara dan markas antarabangsa terletak di Nizzamudin, India. Setiap markas daerah dipimpin seorang shura dan kemudian membentuk ratusan markas kecil yang dinamakan halaqah.

Kegiatan halaqah adalah perjumpaan mingguan, sebulan atau mereka keluar (khuruj) selama tiga hari. Khuruj bertujuan meluangkan sepenuh masa berdakwah di masjid atau surau dengan dipimpin Amir.

Ketika ini, mereka banyak menghabiskan masa membaca hadis atau kisah sahabat yang biasanya dipetik daripada kitab Fadhail Amal karya Maulana Zakaria.

Kemudian mereka mengunjungi (jaulah) rumah ke rumah dan bermuzakarah. Sepanjang tempoh khuruj itu, mereka akan tinggal sementara di masjid atau surau.

Mereka memasak makanan sendiri dan makan beramai-ramai dalam talam besar.

Jemaah tabligh mengabdikan sepenuh jiwa raga untuk agama dan tidak menyentuh perkara berkaitan politik. Justeru, mereka dianggap kumpulan yang sukakan perdamaian.

Namun, bukan mudah untuk menjadikan seorang dalam jemaah tabligh yang tekun kerana memerlukan kekuatan diri terutama meninggalkan rumah tangga, isteri dan anak untuk tempoh beberapa hari.

Memang bukan perkara mudah melakukan perkara kebaikan kerana syaitan sentiasa membisikkan perkara yang melalaikan.

Usaha jemaah tabligh keluar berdakwah nampak mudah, tetapi terpaksa melalui jalan berliku terutama pandangan masyarakat.

Ada yang diherdik, dimaki, dihalau malah dianggap kutu rayau ketika melakukan tugas dakwah itu. Malah, ada umat Islam sendiri yang menyindir supaya mereka berdakwah kepada golongan bukan Islam daripada menyibuk datang dari rumah ke rumah.

Malah ada juga yang menyarankan aktiviti tabligh diharamkan di Malaysia kononnya ia boleh menyebabkan kemunduran umat Islam.

Justeru, jemaah tabligh memang dilatih menjadi penyabar kerana perkara itu memang sudah dijangka.

Bagaimanapun, jemaah tabligh membuktikan mereka berjuang dengan rela hati apabila sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari, seminggu, 40 hari atau empat bulan untuk mengembangkan agama Allah.

Mereka antara manusia bertuah kerana memperuntukkan sebahagian usia kepada agama, sedangkan ramai manusia berebut-rebut mencari habuan keduniaan.

Bukan semua sanggup berjauhan lama dengan anak dan isteri melakukan kerja dakwah sebegini.

Namun, jemaah tabligh yakin cara dakwah mereka menepati perbuatan Rasulullah s.a.w. Perkara paling penting dalam berdakwah mengikut cara tabligh adalah keikhlasan.

Kemuncak jemaah tabligh di negara ini ialah perhimpunan 200,000 ahli kumpulan itu dari seluruh dunia yang berkampung di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sempena ijtimak Tabligh Sedunia, baru-baru ini.

Jemaah tabligh daripada lebih 40 negara hadir yang membentuk saf solat bermula dari barisan hadapan hingga ke belakang sepanjang lebih satu kilometer (km) manakala setiap saf sepanjang 500 meter.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata jemaah tabligh membuktikan mereka dapat mengumpulkan umat Islam dari seluruh dunia. Ini satu perkara yang hebat.

"Namun, mereka perlu mengembang peranan dakwah, tidak hanya di masjid atau surau sebaliknya meluaskan jaringan itu kepada remaja bermasalah, vandalisme, penjara dan pusat pemulihan akhlak.

"Cabang dakwah ini luas dan ia perlu diperkemaskan supaya orang ramai dapat menerima cara penyampaian dakwah kita. Mereka juga boleh mengetengahkan cabang dakwah melalui penulisan dan kebajikan.

"Nabi Muhammad s.a.w berdakwah kepada semua peringkat umur dan latar belakang," katanya.

Zamihan berkata melalui kepelbagaian bentuk dakwah itu seseorang boleh menyampaikannya di mana-mana saja tanpa terhad kepada sebarang waktu.

"Kewajipan memperingati sesama umat itu terletak di setiap bahu kita. Dakwah yang sebenarnya tidak terhad di masjid atau di surau saja.

"Kelompok utama yang perlu kita hampiri adalah di kalangan ahli keluarga kita terlebih dulu sebelum melakukan dakwah kepada individu lain," katanya.

Mengenai keluar (khuruj) berdakwah ke tempat lain, ia bergantung kepada kemampuan diri. Jika mempunyai banyak tanggungjawab, utamakan keluarga dahulu sebelum perkara lain.

"Jika kita keluar menjalankan tanggungjawab berdakwah, tetapi pada masa sama membiarkan isteri dan anak terabai, hukumnya haram.

"Setiap individu juga mempunyai tugas besar terhadap kerjaya dan pelajaran. Pastikan tanggungjawab itu diutamakan," katanya.

Menurutnya, kehadiran jemaah tabligh di masjid atau surau untuk kerja dakwah diharuskan, tetapi mereka perlu menonjolkan disiplin tinggi bagi membolehkan orang lain menghormati mereka.

"Contohnya bersugi, ia memang amalan mereka, tetapi jangan dilakukan tanpa mengira tempat hingga menyebabkan orang lain tidak senang melihatnya.

"Pakaian dan penampilan diri mesti menggambarkan kualiti pendakwah yang Islam mahukan," katanya.

Namun, beliau menganggap jemaah tabligh sudah menjalankan tanggungjawab mereka, sekurang-kurangnya memberi impak kepada usaha mengembangkan Islam secara terbuka.

"Dalam menyampaikan dakwah, jangan kecewa atau marah apabila orang lain tidak menerima pendekatan kita. Apa yang penting penyampaian dakwah itu sudah dilaksanakan.

"Sentiasa melihat kelemahan diri sendiri kerana Rasulullah s.a.w yang maksum pun memohon bertaubat 100 kali sehari, apatah lagi kita manusia biasa," katanya.


Dari meja Juvitaku:
Saya respect ahli jemaah yang konsisten. Teruskan perjuangan fardu kifayah.

Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Hijrah

DOA AKHIR TAHUN

Sempena akhir tahun hijrah pada petang 17 Disember 2009 (30 Zulhijjah 1430), kita dianjurkan supaya berdoa pada waktu asar. Dibaca 3 kali pada penghujung waktu Asar, sebelum masuk waktu Maghrib. Dengan izin Allah, orang yang berdoa akan mendapat perlindungan Allah dari fitnah dan tipu daya syaitan dari semua dosa selama setahun yang lalu.




















Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah cucurkan Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian.

Ya Allah wahai Tuhanku, perkara-perkara yang telah aku lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka aku belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredhainya dan Engkau tidak melupakannya (Tuhan yang tidak bersifat lupa) dan Engkau berlembut tidak mengazabku malah memberi peluang supaya aku bertaubat selepas aku melakukan maksiat itu. Maka aku memohon keampunanMu.

Ya Allah, ampunilah aku dan mana-mana perbuatan yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang telah Engkau janjikan pahalanya. Maka aku mohon diperkenankan perbuatan (amal bakti) yang telah aku lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapanku. Ya Allah yang Maha Pemurah .

Semoga Allah cucurkan Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian.


DOA AWAL TAHUN



Dibaca sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib 17 Disember 2009 iaitu bersamaan dengan 1 Muharram 1431 Hijrah.















Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Dari meja Juvitaku:
Semoga kita dapat amalkan..insyaallah


diambil dari http://www.myadha.blogspot.com/


Wednesday, December 16, 2009

Buah nangka keluar pisang

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


PEKAN: “Saya yakin ada hikmah di sebalik kejadian ini,” kata Rosli Awang, 52, pemilik buah nangka yang mengeluarkan pisang.

Dia yang tinggal di Felda Chini 3, berkata ini kali pertama dalam hidupnya melihat kejadian pelik itu berlaku sehingga menarik perhatian orang ramai menyaksikannya secara dekat.

Menurutnya, dia tidak pasti faktor apa menyebabkan buah nangka miliknya mengeluarkan beberapa biji pisang berwarna kuning sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

“Saya menyedari buah nangka berkenaan ada kelainan ketika melihatnya enam bulan lalu sebelum membungkusnya dengan kain bagi mengelak rosak.

“Kelmarin apabila saya membuka sampul kain, saya terkejut apabila mendapati terdapat beberapa biji pisang keluar di bahagian bawah buah nangka,” katanya.

Rosli berkata, nangka berkenaan mengeluarkan buah pertama daripada pokok ditanam dua tahun lalu menggunakan biji yang tumbuh secara kembar.

Katanya, kejadian pelik juga berlaku pada buah berkenaan apabila ia mengeluarkan getah berwarna hitam bukan putih seperti kebiasaannya.

“Walaupun berlaku kejadian pelik kepada saya termasuk beberapa individu yang datang melihat buah nangka ini, namun saya menganggap ia adalah secara kebetulan.

“Ada wanita yang datang untuk melihat buah nangka secara tiba-tiba menggeletar dan seluruh badannya lemah, malah ada juga yang terjatuh,” katanya yang terpaksa memagar pokok berkenaan bagi mengelak orang menghampirinya.


Dari meja Juvitaku:
Tiada yang mustahil bagi Allah. Kita sebagai insan patut menginsafi terhadap kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Tuesday, December 15, 2009

Bola (Sukan SEA): Malaysia ke final













BADDROL (dua dari kiri) meraikan jaringannya ketika membantu Malaysia menewaskan Laos 3-1 dalam saingan separuh akhir, malam tadi.



Temu Vietnam ketepikan Singapura

MALAYSIA kembali menjengah medan final selepas lapan tahun menanti apabila persembahan mantap kesebelasan negara melenyapkan tentangan Laos 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Laos, malam tadi.

Baddrol Bakhtiar memuncakkan prestasi tepat pada masanya untuk menjaringkan dua gol ketika Safiq Rahim - perencana gerak yang diberi ruang bebas oleh jurulatih, K Rajagobal - menjamin kejayaan dengan gol pada lewat permainan.




Penampilan itu adalah kali pertama sejak temasya 2001 di gelanggang sendiri, serta turut menamatkan penantian 22 tahun untuk merasai nikmat pentas sama di tempat lawan selepas kali terakhir melakukannya pada 1987 di Jakarta.

Kini, ruang balas dendam menjelma dengan Vietnam, barisan yang menundukkan mereka 3-1 di peringkat kumpulan, menanti selaku penghalang terakhir kepada kilauan pingat emas pada Khamis ini. Vietnam menewaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir.

Biarpun bingit dengan sorakan penyokong tuan rumah, skuad negara cepat menyesuaikan diri dan mula mengawal rentak aksi. Hasilnya ialah cubaan cantik Norshahrul Idlan Talaha pada minit kesembilan, hasil bola umpanan lolos Safiq yang memaksa penjaga gol lawan, Souvanpheng Phanthavong melayangkan diri buat menepis keluar.

Penantian gol negara dinoktahkan pada minit ke-13. Gerak pantas dari sayap kanan menyaksikan Abdul Manaf Mamat melintangkan bola yang cantik disambung dengan sepakan libas Baddrol Bakhtiar yang terus menerjah jaring gol lawan.

“Saya memang yakin mampu menjaringkan gol kali ini. Malah tekanan sorakan penonton tidak mengganggu kerana kami pernah merasai pengalaman sama ketika menentang Manchester United lalu. Saya langsung tidak teragak-agak apabila beroleh peluang ini.

"Kejayaan ini bukan hanya untuk kami sepasukan, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama menyokong perjuangan kami menerusi siaran langsung di tanahair. Kini kami mahu laksanakan misi tebus maruah apabila bertemu Vietnam nanti," katanya.

Selepas itu, Laos cuba mengatur gerak, tetapi segala ancaman mudah diserap barisan benteng diterajui Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Muslim Ahmad, Nasriq Baharom dan Mohd Sabre Mat Abu untuk kelebihan dikekalkan sehingga tamat babak pertama.

Kemenangan sepatutnya sudah dijamin dua minit selepas rehat, tetapi sayangnya rembatan deras Norshahrul hasil usaha Manaf dalam kawasan penalti, sekadar menyinggahi tiang kiri gol sebelum melantun keluar dari zon bahaya.

Padah memperlahankan rentak dirasai skuad negara apabila Laos mengikat kedudukan pada minit ke-73 menerusi rembatan deras lencong Kanlaya Sysomvang yang memperdaya Mohd Sharbinie Allawee untuk menerjah bahagian atas jaring gol.

Tetapi perwatakan mereka jelas kental dan enam minit kemudiannya, skuad negara kembali mendahului apabila cubaan jauh S Kunanlan terkena palang sebelum bola lantunan disudahkan Baddrol untuk gol kedua negara.

Safiq Rahim memastikan namanya dalam senarai penjaring dengan gol pada ke-85 yang sama sekali melenyapkan bingit sorakan penyokong lawan - seperti runtuhnya baki tentangan kesebelasan Laos.