Saturday, November 20, 2010

Kolonel Jihad : Antara Mitos dan Realiti



PROLOG

Banyak sekali yang mendesakku dengan persoalan apakah
sebenar-benarnya yang menyebabkan aku dihumban ke Kem
Tahanan Kamunting untuk tiga tahun lapan bulan lamanya mulai awal 2003. Justeru, aku terpanggil untuk menitipkan senarai pertuduhan rasmi yang mensabitkan aku di bawah Akta KeselamatanDalam Negeri (ISA) bagi menjawab persoalan yang mendakapi minda kalian yang menginginkan kepastian dari ungkapan perkataan seorang bekas tahanan sepertiku.

“ Bahawa kamu,...............telah bersubahat membawa masuk secara berperingkat seramai lebih 10 anggota Al-Qaeda terdiri dari warganegara Arab Saudi, Pakistan dan Afghanistan untuk mendapatkan rawatan di beberapa hospital dan pusat perubatan dengan tujuan untuk meneruskan perjuangan perang jihad .....

dan “.............telah mengendalikan latihan ala ketenteraan secara sulit kepada 6 ketua kem tentera Arakan Rohingya National Organisation berasal dari Myanmar bagi menyemai dan menanam semangat jihad....”

dan “............telah mengadakan satu perjumpaan sulit untuk memberi latihan ketenteraan kepada sebuah negara militan dari negara jiran yang ada hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda ......”

dan “.............bersama-sama dengan seorang rakyat Indonesia yangdikenali telah mengadakan latihan ketenteraan secara sulit kepada 18 militan Indonesia ......”

dan “.............telah Menjadi Penasihat kepada sebuah organisasi hadapan (Front Organisation) Jemaah Islamiah dalam cara-cara mengurus dan menjana dana kumpulan tersebut ....”

Satu demi satu untaian pertuduhan itu dibacakan. Dakwaan
yang tercungkil dari persepsi mereka yang kabur ke atas apa yang aku lakukan demi keamanan sejagat. Namun, aku tidak berpeluang untuk membicarakan kekhilafan yang telah aku lakukan dan apayang sebenarnya yang terjadi sebelum aku ditahan. Rentetan dakwaan tersebutlah yang membawa aku bermukim di Kamunting selama 3 tahun 8 bulan. Apakah ia sekadar alasan yang berpaksikan andaian atau mungkinkah rencana tahanan ini sekadar mencegah bencana yang lebih besar umpama mengkandang kambing dari rakusan serigala yang sedang menggila mencari mangsanya?

Seingatku, hari Khamis malam Jumaat tanggal 20 Februari tahun 2003 merupakan waktu yang mengubah banyak aspek kehidupanku. Bermula dari detik lebih kurang jam 10.30 itulah aku menjadi sedar akan kewujudan bahawa andaian dan sangkaan boleh mewahamkan erti keikhlasan di dalam perjuangan. Dengan menggunakan akta polis aku diseret ke pusat reman untuk disoal-siasat dan kemudian dihumban ke Kem Tahanan Perlindungan (KEMTA) berdasarkan pertimbangan yang amat sukar ditakrifkan oleh skala keadilan asasi. Mungkin kepada yang berkenaan dengan merujuk nasihat dari ‘pakar keselamatan’ sudah cukup untuk
menghukum kalian di bawah akta keselamatan dalam negeri. Persis pendapat pakar perubatan yang memungkinkan pembedahan amputasi dilakukan kepada pesakit yang perlu menyerahkan nasib tanpa mempersoalkan kesahihannya. Agaknya, keperluan pendapatkedua (second opinion) hanya menunda masa!

Sejujurnya, aku tidak tahu adakah penjelasan yang aku
nukilkan di sini mampu melempiaskan jawapan bagi setiap persoalanyang acapkali kalian lumpukkan kepadaku. Aku sedar, bahasaku tidak sepuitis sasterawan negara yang bisa menguasai bait-bait ungkapan menjadi suatu coretan yang meruntun jiwa-jiwa yang membacanya.Aku hanya seorang manusia biasa yang tiada upaya menganyambahasa berbunga-bunga. Aku termegun memikirkan entah dari bahagian mana perlu aku memulakan agar ia menjadi jelas dan dapat difahami akan segenap perasaan yang telah aku pendam tujuh tahun lamanya.

Aku menghela nafas panjang yang membawa bersama
harapan dan kesedihan dan begitu sukar untukku menterjemahkan kepada mereka yang telah melabelkan aku dengan pelbagai gelarandan sisipan yang menyakitkan hati setelah aku dikuburkan di Kamunting dan ditalkinkan sebagai pengganas!

Lantas, aku menggerakkan pena untuk memberitahu dunia kerana aku seringdihakimi dan bukan dimengerti…

KOLONEL JIHAD

Buku ini adalah memoir peribadi seorang bekas pegawai tentera yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia menceritakan pengalamannya sebagai seorang aktivis bantuan kemanusian dan ketika di dalam tahanan.




dari meja juvitaku:

dapatkan buku Kolonel Jihad di kedai MPH

No comments:

Post a Comment