Saturday, October 10, 2009

Kelab Perkim UUM paling aktif


PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan meraikan golongan kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan siswa institusi pengajian tinggi sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Majlis bagi tahun ketiga itu berlangsung di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor turut mendapat kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM), Eoncap Islamic Bank dan Agro Bank Bhd.


Perkim menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper makanan kepada 150 individu terpilih serta anugerah kecemerlangan kepada pemimpin Kelab Perkim Universiti.

Anugerah Sri Cemerlang kategori Kelab Terbaik Keseluruhan dimenangi Yang Dipertua Kelab Perkim Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Jelani Mohd Nor, dengan piala pusingan Yang Dipertua Perkim, piala iringan dan cek tunai RM3,000.

Ia diiktiraf kelab Perkim paling aktif menjalankan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan walaupun sentiasa sibuk dengan kuliah.

Yang Dipertua Kelab Perkim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Zaki Jaafar menerima Anugerah Kepimpinan Cemerlang manakala Anugerah Projek Terbaik ialah Yang Dipertua Kelab Perkim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Shahrul Ashraf Jamaluddin.

Kategori Kelab Perkim Harapan pula diterima Yang Dipertua Kelab Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Wan Ibrahim Wan Hashim.

Masing-masing menerima piala iringan dan cek tunai RM2,500.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Perkim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir, Naib Yang Dipertua Perkim, Prof Emeritus Datuk Dr Ariffin Suhaimi dan Naib Yang Dipertua Perkim, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,500 tetamu dan menghimpunkan 11 Kelab Perkim Universiti.

No comments:

Post a Comment