Saya,  Muhammad Muizzuddin bin Zaini.   InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur  saya 19 tahun. Masih berbaki  lebih kurang  2 tahun sebelum saya layak  mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula  mensyaratkan yang saya hendaklah  berumur 21 tahun untuk melayakkan  surat saya ini dibaca Dato’ Seri.
Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).
Saya juga mampu  membaca  suratkhabar  dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di    laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di   media  arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang   tidak menjadi  kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.
Tidaklah   pula saya  katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak.   Saya cuma mahu  tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah   remaja yang bukan  kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur,  ‘menelan’ buku  teks semata. Saya adalah  remaja yang mengikuti rapat   perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta  ini.
Izinkan   saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak,  seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang   remaja  seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri   yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’   Seri Najib yang saya hormati,  memimpin sebuah negara bukanlah perkara   yang mudah. Tidak pernah ia menjadi  mudah, tidak boleh ia diambil   mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting.  Persoalan yang diletakkan   tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah,  celaan di dunia,  dan  penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi  SAW.
DASAR
Saya,   yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya  bahawa setiap   tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan  sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi   sebagai  neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi,   atau kroni, atau  Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita,   seorang Muslim, neraca asas  yang menjadi dasar pertimbangan kita   tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya,  apakah Asas Utama kepada setiap   tindakan Dato’ Seri?
Apakah Islam? Atau  Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?
Maaf   Dato’ Seri, kiranya  jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap   tindakan Dato’ Seri adalah Islam  (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan   memilih jawapan selainnya), maka saya ada  beberapa soalan untuk Dato’   Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program  Transformasi Ekonomi   yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca  Islam  atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.
Saban    hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara,   sama ada  dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang   MENGHILANG! Iya, ‘hilang’  nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau   kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’  maruah dan harga diri kerana amalan   penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’  akal kerana ketagihan   ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga  tergamak   membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan  anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan   pelapis  kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’   sebagai Tuhan!  HILANG Dato’ Seri, HILANG!
Saya begitu terkesan   pada pesan Saiyidina Ali  KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk   menilai masa depan ummatnya”. Saya  tergamam dan jadi takut Dato’ Seri,   melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut.  Apakah sebegini hancur dan   punahnya masa depan negara tercinta  ini!?
PELAN TRANSFORMASI EKONOMI
Program   Transformasi Ekonomi  anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut   menggariskan perancangan untuk  MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN   MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN.  Di atas alasan untuk   memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan   pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka,    menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur  antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1   dan  MotoGP.
Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan  zon  hiburan di  Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands,  Pulau  Pinang, Langkawi dan  Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan   hiburan malam Malaysia kepada RM1.8  bilion menjelang 2020. Penubuhan   enam kelab malam baru yang mampu menampung  kehadiran 900 pengunjung   pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul.  Dua lagi akan   beroperasi pada 2013 dan 2014.
Maka menjelang 2014 negara kita  akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan.  Rancangannya  adalah  untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara  RM0.7 bilion  dan mewujudkan  lebih kurang 5,000 pekerjaan baru  menjelang 2020. Bagi  mencapai hasrat itu,  kerajaan Dato’ Seri akan  merubah beberapa  peraturan hiburan, termasuk  membenarkan pelanjutan  had waktu beroperasi  bagi pusat hiburan  malam.
Dato’ Seri juga  berhasrat  melonggarkan lagi syarat-syarat untuk  persembahan artis luar  negara.  Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang  penyanyi gay  membuat  persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan   kebenaran  daripada kerajaan Dato’ Seri.
Izinkan saya ulangi  soalan saya   Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca  timbangan ketika Dato’  Seri  merangka, membentang dan membahas idea  ini? Ataupun Dato’ Seri  punya pilihan  lain yang Dato’ Seri lebih suka  untuk diletakkan sebagai  neraca  timbangan?
Yang Amat Berhormat  Dato’ Seri, apakah Dato’  Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri  ini adalah perancangan  ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran?  Ini bukanlah pelan  pembangunan ekonomi, ini  adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala  besar  yang akan menjadikan  rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau   lebih muda hancur  musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.
Iya,  Dato’  Seri akan  ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para  cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan   keseronokan  melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara   memuas nafsu yang  berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’   Seri, iaitu hilang upayanya kami  untuk menduduki barisan kepimpinan  negara  suatu masa nanti. Atau apakah pada  pandangan Dato’ Seri, yang  kami akan  menjadi lebih bijak dan pandai kiranya  ‘menelan’  hiburan-hiburan ini?
IFF dan AURAT
Dato’   Seri,  seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab   menegaskan, “Bahawa  adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan   Islam. Sesiapa yang mencari  kemulian selain daripada Allah, maka akan   dihina Allah”. Terasa-rasa seperti  terdengar SA Umar bertitah demikian  kerana ia begitu meresap masuk di hati  ini.Dato’   Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat  Dato’   Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo    tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah   tatkala  melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama   “Kelembutan Islam”  (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’   Seri dan pastinya dengan  izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat   terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan   isteri mengenai pemakaian di dalam  Islam?
Saya dan rakan-rakan   jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah.  Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’   berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu,  isteri Dato’ Seri tidak   pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri.  Isteri Dato’   Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri   Dato’  Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan  mahram)   tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya,  apakah Dato’  Seri  meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?
JUDI
Bukan   sedikit  kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan   pemberian lesen kepada  syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus   perjudian sukan di Malaysia  pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya   agak apakah harapan Dato’ Seri dengan  pemberian lesen-lesen judi ini?
Apakah   ini juga satu pelan meningkatkan  ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri   gembira dengan duit yang mencurah masuk,  dalam masa yang sama kita   melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul  lewat perjudian?
Apakah   Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan  LA’NAT waktu mengemukakan   cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya  rakyat Malaysia   memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang   mereka  perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri    sebenarnya?
Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca  agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?
KEMISKINAN  dan HARGA NAIK
Dato’   Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan.  Barangkali jika tidak   jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan  hidup   senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya    raya.
Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20   sen, 50  sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak   akan bersusah.  Tidak perlu berjerih payah.
Tahukah Dato’ Seri,   di celah-celah,  ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang   menderita lewat kebejatan ekonomi  yang punah hasil ketirisan dan   kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak  meletakkan Islam sebagai   neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan  yang menghancur!
Dato’   Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin  dan kesusahan.   Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah  membuatkan   mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk    menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada    membantu).
Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah  meminta wang lebih  untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa   terpaksa menghulur dalam titis air  mata. Sudahlah hutang yuran  persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang   dicurah demi sesuap rezeki  halal untuk anak-anak dan keluarga.
Kerajaan   Dato’ Seri jangan  terlalu bergantung kepada statistik dan kajian  untuk menilai  kemampuan  rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat  yang terseksa dan merana   kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap  kali harga minyak atau  keperluan  utama naik, meski sekadar 10 sen atau  20 sen, mengalirlah air  mata rakyat yang  menanggungnya.
Rakyat  benar-benar tersiksa  sekarang. Janji tinggal janji,  janji tidak  pernah dipenuhi. Janji itu  dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu  menang nanti kami rakyat sudah  dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha  keras  sendiri.
SUARA RAKYAT
 Waktu   rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang   terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan  dengan   Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami   ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami.   Kami  dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak   punya maruah.  Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia   yang saya yakin, Dato’  Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan   peritnya.
Dan menteri-menteri  Dato’ Seri tanpa rasa bersalah  menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba  menggugat keselamatan   negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik  perhatian.. kalaulah   mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati  ini.
Semuanya   adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa  dengan pimpinan   negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh  keraguan   dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami    rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang   untuk  kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami.  Sekadar  ruang kecil  untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya   kehidupan yang kami rakyat  lalui.
Pernahkah Dato’ Seri  pedulikan  suara kami? Pernahkan selain  daripada tarikh pilihanraya  Dato’ Seri  menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah  waktu pandangan  rakyat yang  tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli?  Pernahkah  Dato’ Seri?
Dato’  Seri bertindak sungguh responsif setiap kali   adanya himpunan-himpunan  rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam  Negeri,  Dato’ Seri  memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan  berjaya berhimpun   dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’  Seri juga menggunakan  segala  maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan  kami. Ulama’-ulama’  yang bernaung di  bawah Dato’ Seri juga menggali  hujah-hujah agama demi  membuktikan tindakan kami  bersuara adalah  bercanggah pada sisi agama.
Dato’  Seri, saya sungguh  kecewa  dengan setiap tindakan ini. Bukankah  perhimpunan anjuran Dato’ Seri  pada  setiap malam menunggu detik  Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru,  ribuan malahan  mungkin ratusan ribu  rakyat termasuk golongan muda-mudi  datang menyertai. Akhbar  arus  perdana jugalah yang melaporkan  tangkapan demi tangkapan kerana  berkhalwat,  kerana dadah, kerana  berkelakuan tidak sopan pada setiap  kali sambutan-sambutan  anjuran  Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan  rakyat membantah ketidakadilan dan   mahukan sedikit keadilan, pernah  menjadi penyebab anak-anak muda  ditangkap  khalwat?
Dan  pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang  bernaung di bawah Dato’  Seri itu  menegur Dato’ Seri kerana program  jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur   himpunan rakyat yang bersuara  sebagai Bughah (derhaka) dan menuju   Maksiat!?
REFORMASI
Saya   dan juga rakan-rakan adalah remaja  muda yang punya sikap, punya   pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini  Dato’ Seri. Kami   berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk    memperbaiki keadaan punah ini.
Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri.   Pertama,  nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat   sudah saya  berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga   begitu, isyarat sudah  mereka sampaikan.
Jika sampai masanya  untuk kami membuat pilihan, dan  keadaan tidak lagi pulih, percayalah   Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan  sekarang untuk siapa yang layak   menerima undi kami nanti.
Tidak cukup  dengan itu, saya dan   rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan  kekuatan.   Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran,    pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan   Islam,  Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh   tempat tertinggi  di negara ini.
Dato’ Seri, saya tidak   mengancam. Tidak pula mengugut.  Saya mengingatkan. Kerana inilah   tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah  sesama Mu’min itu   bersaudara?
Dato’ Seri, mungkin surat ini akan  sampai kepada   pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke    pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana   mungkin  ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada   silap dan salah  pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih,   iyalah, orang sesibuk Dato’  Seri meluangkan masa untuk mengambil   perhatian pada surat saya ini, itu adalah  satu penghormatan buat remaja   seperti saya.
Namun Dato’ Seri, kiranya  ada pada surat ini  ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang  mungkin   lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati,    kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH   PENCAK  KAMI!
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Muhammad  Muizzuddin Bin Zaini
Sumber: Suara Fata




