ahmadshahrul@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: Seorang bomoh didakwa bukan saja mampu memperoleh ‘wahyu dari langit’ bagi menjatuhkan talak terhadap pasangan suami isteri, malah licik memukau wanita supaya menjalinkan hubungan seks dan tinggal serumah dengannya.
Lelaki berusia 50-an yang sudah beristeri itu juga bijak menjerat pasangan ‘bermasalah’ yang mendapatkan khidmatnya selain menawarkan kuliah pengajian agama di rumah banglonya, di Lembah Klang.
Berbekalkan perwatakan alim, lelaki terbabit bersedia menawarkan bilik bagi pasangan yang mahu tinggal di rumahnya sepanjang tempoh ‘pembersihan diri’ sebelum memulakan taktik bagi memerangkap wanita.
Bagaimanapun, kegiatan bomoh yang terkenal di kalangan ahli perniagaan bagi mendapatkan projek itu, terbongkar selepas suami kepada seorang wanita 50-an yang mendapatkan khidmat bomoh itu mendakwa isterinya tidak mahu pulang dan sanggup tinggal di rumah bomoh berkenaan.
Sebelum kejadian, pasangan golongan berada dari Ipoh, Perak terbabit mendapatkan khidmat bomoh terbabit bagi melariskan perniagaan mereka, selain mahu meningkatkan ilmu keagamaan daripada bomoh itu.
Sumber memberitahu Harian Metro, pasangan 50-an terbabit ditawarkan tinggal di banglo bomoh terbabit untuk tempoh dua minggu sebagai syarat bagi melangsaikan semua permintaan dan khidmat bomoh terbabit.
Menurutnya, mangsa tidak mengesyaki sebarang gelagat buruk bomoh terbabit sehinggalah isterinya merayu mahu tinggal untuk tempoh seminggu lagi walaupun semua urusan selesai.
Bukan itu saja, katanya, bomoh terbabit juga mengakui isteri lelaki terbabit perlu tinggal lebih lama di banglonya bagi memulihkan semangat yang diganggu ‘benda halus’.
“Bomoh itu memberitahu, isteri lelaki terbabit sering meracau dan tidak sedarkan diri dan perlu dipulihkan dengan segera.
“Suami wanita terbabit membenarkan sesi pemulihan dilakukan terhadap isterinya kerana percaya dan yakin dengan kata-kata bomoh terbabit yang berperwatakan alim itu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, apa yang mengejutkan, isteri lelaki terbabit tidak mahu pulang mengikut suaminya sebaik saja tempoh seminggu permulihan selesai, malah berkeras mahu terus tinggal di banglo terbabit.
Bukan itu saja, katanya, bomoh terbabit juga secara berdepan memberitahu lelaki terbabit bahawa dia menerima ‘wahyu dalam mimpi’ yang memberitahu perkahwinan lelaki terbabit dengan isterinya sudah tertalak dan tidak boleh hidup bersama.
“Bomoh itu mengakui menerima wahyu yang mentalakkan perkahwinan lelaki terbabit menyebabkan pasangannya tidak boleh hidup bersama dan hanya tinggal di banglo itu.
“Bukan itu saja, isteri bomoh terbabit juga mengiyakan wahyu yang diterima itu menyebabkan lelaki terbabit terpaksa menggunakan pendekatan lain termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan isterinya yang dipercayai cuba disembunyikan bomoh itu,” katanya.
Sumber berkata, dia tidak menolak kemungkinan isteri lelaki itu yang terkena ilmu hitam ‘dijamah’ bomoh itu sehingga sanggup mengikut bomoh terbabit.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, bomoh terbabit membawa ajaran wahyu dari langit yang diterima melalui mimpi yang perlu dilaksanakan, termasuk ‘menjamah’ isteri lelaki lain yang mendapatkan khidmatnya.
Malah, sumber berkata, maklumat juga mendapati bomoh terbabit juga dipercayai menggunakan kaedah ‘nikah batin’ yang membolehkan mangsa mempercayai bomoh itu sudah menjadi suaminya yang sah.
“Selain itu, peranan licik isteri bomoh yang sudah dipengaruhi ajaran pelik suaminya, dipercayai mengukuhkan lagi kegiatan bomoh terbabit yang nekad meniduri isteri lelaki lain dengan alasan menerima wahyu yang membolehkannya berbuat demikian,” katanya yang tidak menolak kemungkinan beberapa pasangan lain juga menjadi mangsa rakus bomoh terbabit.
Bagi mengelak kejadian buruk terhadap isterinya, suami wanita terbabit kembali semula ke banglo bomoh terbabit sebelum diberitahu isterinya tidak lagi menetap di banglo itu.
Bomoh terbabit memberitahu, isteri lelaki itu meninggalkan banglo terbabit dan tinggal di sebuah rumah di utara tanah air bersama dengan saudaranya.
“Apa yang mengejutkan, lelaki terbabit memberitahu isterinya tidak ada di tempat yang dimaksudkan bomoh terbabit dan mengesyaki bomoh itu menyimpan isterinya,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan mangsa yang bimbang bomoh terbabit memperalatkan isterinya untuk tujuan tertentu.
Sumber itu berkata, berdasarkan kepada ajaran yang diamalkan bomoh terbabit, tidak mustahil isteri lelaki itu sudah menjadi ‘isterinya’ dan tidak menolak kemungkinan wanita itu juga sudah ditiduri oleh lelaki terbabit.
No comments:
Post a Comment