PENDUDUK Haiti tunggu giliran ambil bekalan makanan.
PORT-AU-PRINCE: Mangsa gempa bumi 7 skala Richter di Haiti terus maut kerana ketiadaan makanan dan ubat malah ada wanita hamil bersalin di tempat terbuka manakala orang cedera terus tiba di pusat rawatan sementara ketika operasi menyelamat diteruskan dan tentera asing tiba untuk membantu.
"Kami tidak perlukan bantuan tentera. Apa yang kami perlu ialah makanan dan tempat berteduh," kata seorang pemuda yang menjerit ke arah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon ketika melawat ibu kota Haiti, kelmarin.
"Ajal kami semakin hampir," kata seorang wanita kepada pemimpin badan dunia itu ketika menjelaskan dia dan lima anaknya tidak ada makanan.
"Orang kulit putih, berambus dari sini," kata beberapa orang lain di kawasan setinggan Bel-Air yang mungkin kecewa kerana orang asing yang ada tidak menghantar bekalan keperluan.
Bekalan air semakin dapat dihantar kepada lebih ramai orang ketika ada laporan mengatakan pergaduhan berlaku ketika mangsa menunggu mendapatkan makanan termasuk di padang golf.
Jurucakap PBB, Elisabeth Byrs berkata, ada kemungkinan mangsa lain masih boleh hidup hingga Isnin depan. Anggota penyelamat menemui 70 mangsa yang terselamat di bawah runtuhan setakat ini.
"Masih ada mangsa yang hidup. Harapan masih ada," katanya. Program Makanan Dunia pula hampir mencapai sasaran untuk membantu 60,000 orang kelmarin, meningkat daripada 40,000 sehari sebelumnya," kata jurucakap agensi itu, David Orr.
Pegawai PBB berkata, mereka perlu menghantar bantuan kepada dua juta orang dalam tempoh sebulan.
Apa yang mengejutkan ialah penyelamat terus menemui orang terselamat di bawah runtuhan, lima hari selepas gempa melanda. AP
No comments:
Post a Comment