Thursday, January 28, 2010

Kuliah Jumaat


SIAPAKAH yang wajib ditaati oleh seorang isteri, setelah Allah, Rasul-Nya, dan suami? Apakah ayah atau ibu, atau ada yang lain selain mereka?

Alia,
Ampang Selangor


Kewajipan taat kepada makhluk, siapa pun adanya, tidak boleh bertentangan dengan kewajipan taat kepada Allah SWT. Allah SWT dalam al-Quran menggandingkan kewajipan taat kepada-Nya dengan kewajipan berbuat baik kepada orang tua iaitu firman-Nya yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia (Allah) dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa..." (al-Israk 17:23). Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ibu mendapat kedudukan pertama, kedua dan ketiga sebelum ayah. Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa isteri yang baik adalah isteri yang memperkenankan permintaan suami. Untuk membuat garis bawah agak sulit kerana masih ada lagi yang perlu ditaati, selain yang disebutkan seperti ketaatan kepada pemerintah.


Turutan yang diterangkan oleh Rasulullah SAW yang bersangkutan ibu dan bapa agaknya dikaitkan dengan dua perintah yang berbeza, tetapi sama dengan nilai kepentingannya. Di sini, ibu didahulukan dengan pertimbangan umum bahawa biasanya ibu lebih lemah dibandingkan dengan bapa, serta jasa ibu dalam mengandung, melahirkan dan menyusukan melebihi jasa ayah yang sekadar menumpahkan benih dengan mudah. Sedangkan, ibu harus mengandung dan melahirkannya dengan susah payah. Akan tetapi, ini tidaklah secara langsung mengharuskan seorang anak mendahului ibu daripada yang lain kerana boleh jadi dalam kes tertentu perintah ayah lebih penting untuk dipenuhi.

Apapun, ketaatan kepada makhluk - siapa pun dia - tidak boleh mengakibatkan terabainya hak seseorang. Dalam Tafsir al-Manar, Syeikh Rasyid Redha menulis: "Tidak termasuk dalam kewajipan berbuat baik kepada orang tua, mentaatinya menyangkut sesuatu yang mencabut atau mengurangi hak peribadi anak, atau rumah tangga, atau jenis pekerjaan yang bersangkut paut dengan agama atau negaranya.'

Menurut Rasyid Redha lagi, apabila kedua-dua orang tua atau salah satunya ingin memaksa pendapatnya menyangkut hal-hal di atas, maka tidaklah dianggap derhaka jika anak menolaknya - baik dari sudut pandangan akal atau agama. Ini kerana, berbuat baik dan taat kepada keduanya bukan bererti boleh mencabut hak dan kebebasan peribadinya.

Monday, January 25, 2010

Mari kita analisis bila Pilihanraya di Perak.

Keputusan Mahkamah DS Nizar dgn Zamry tuuu 9 Feb 2010.
Ada desas desus mengatakan hakim memihak kepada DS Nizar...
So.. kita tengok pulak bila keputusan mahkamah tentang DS Anwar dgn Saiful awww tuu.
So... ada sesiapa nak teka dengan klu yang ada tuuu...

klu 3:
Kalau kita dah terdesak nak kena letak jawatan tentu kita sanggup untuk dipilih secara pilihan kan.. jawapannya pilihanraya: sebelum pengistiharan Mahkamah tentang MB Perak yang sah.

klu 4:
Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman kepada DS Anwar, maka kredebiliti PKR mungkin jatuh atau naik. Jawapannya: Pilihanraya akan di adakan slps mahkamah menjatuhkan hukuman.


Keputusan pertikaian jawatan MB Perak 9 Februari

PUTRAJAYA: Hampir setahun pertikaian isu Menteri Besar Perak tercetus, Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya pada 9 Februari ini sama ada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal dalam jawatan itu atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendapat kembali jawatannya.

Keputusan itu amat ditunggu-tunggu kerana ia akan menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir negeri itu atau kembali kepada pemerintahan pakatan Pas, DAP dan PKR.

Panel lima hakim yang bersidang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.



Empat lagi terdiri Ketua Hakim Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Peguam Leong Cheok Keng, dari pasukan peguam bela Mohammad Nizar, berkata beliau menerima faks dari pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 11.20 pagi tadi memaklumkan kepada beliau mengenai tarikh tersebut.

Panel lima hakim yang bersidang telah menangguhkan keputusan kes itu pada 5 November lalu setelah selesai mendengar hujah.


Isu mengenai siapakah Menteri Besar Perak yang sah tercetus tahun lalu selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat dan daripada DAP, keluar parti masing-masing bagi menyatakan sokongan kepada BN, menyebabkan kerajaan pakatan itu tumbang.

BN dan PR masing-masing mempunyai 28 Adun tetapi BN mengambil alih pemerintahan negeri hasil sokongan tiga wakil rakyat itu.

Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar, 52, meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan kemudian melantik Zambry sebagai Menteri Besar pada Februari tahun lalu selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam DUN.

Mohammad Nizar, Adun kawasan Pasir Panjang mengambil tindakan undang-undang pada 13 Februari tahun lalu, memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah selain memohon injunksi melarang Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada 11 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei tahun lalu yang mengisytiharkan pelantikan Zambry adalah secara sah dan mengikut Perlembagaan. - Bernama

Sunday, January 24, 2010

Persoalan Agama: Bertaubat, mohon ampun atas perbuatan maksiat

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Orang yang aibkan wanita dengan tuduhan zina mesti akui pembohongan depan khalayak

SEBELUM ini saya melakukan dosa berzina dan menuduh perempuan baik berzina. Saya benar-benar menyesal. Bagaimana caranya untuk saya bertaubat?

Johari
Pahang

______________________________________________________________________________________________

Untuk pengetahuan, saudara sudah melakukan dua dosa besar. Justeru saudara wajib bertaubat. Dosa pertama yang saudara nyatakan ialah zina. Orang yang melakukan maksiat seperti ini hendaklah bertaubat kepada Allah, berasa menyesal, memohon ampun kepada-Nya, dan bertekad sepenuhnya iaitu tidak mengulanginya lagi selama-lamanya.

Sebahagian ulama mengetatkan syarat untuk maksiat ini dengan berkata: "Dia wajib menemui keluarga yang dizinanya dan meminta maaf kepadanya kerana ini berhubungan dengan hak hamba (manusia), oleh kerana itu, ia harus meminta maaf kepada mereka mengenai hak mereka." Maksudnya, bahawa lelaki yang berzina harus pergi kepada keluarga wanita yang dizinanya sebagai contoh dengan mengatakan: "Saya telah berzina dengan isteri atau anak anda, oleh kerana itu maafkanlah dan ampunilah saya."

Menurut pertimbangan akal, hal ini tidak mungkin terjadi, kerana keluarga itu akan membunuhnya atau mengambil tindakan yang bermacam-macam terhadapnya. Justeru, muhaqiq menetapkan bahawa bertaubat daripada zina cukup dilakukan seseorang terhadap Tuhannya. Apabila ia bertaubat, kembali jalan yang benar, menyesal perbuatannya, dan beristighfar memohon ampun kepada Allah, maka diharapkan Allah akan mengampuninya dan memaafkannya.

Dosa yang kedua yang saudara lakukan iaitu menuduh perempuan baik melakukan zina, wanita memelihara diri dan beriman, maka ia termasuk dosa besar dan termasuk dalam tujuh perkara yang membinasakan dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, mengenai segala yang mereka lakukan.

Allah SWT telah menetapkan hukuman bagi orang yang menuduh berzina ini dengan hukuman yang terkenal dengan had qazaf (hukuman kerana menuduh berzina) di dunia dengan disebat 80 kali. Ini adalah tuduhan badan selain tidak diterima kesaksian si penuduh setelah itu, dan ini adalah hukuman moral di mana nilainya telah jatuh dan kepercayaan telah tercabut daripadanya sehingga kesaksian tidak diterima. Di samping itu, ada pula hukuman keagamaan, iaitu dituduh sebagai orang yang fasik, seperti firman Allah SWT:"...dan mereka itulah orang yang fasik." (an-Nur:4)

"Kecuali orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang" (an-Nur:5)

Tetapi bagaimana caranya untuk bertaubat?

Dalam perkara ini, fuqaha dan imam berbeza pendapat. Di sini ada hak Allah SWT dan ada hak bagi wanita yang dituduh itu. Jika orang itu melontar tuduhan berkenaan di depan sekelompok orang, maka dia harus mengumumkan kebohongan tuduhannya di hadapan kelompok orang yang berkenaan, sehingga Allah meredainya atau ia pergi kepada wanita pemilik hak (yang dituduh) itu dan meminta maaf kepadanya.

Adapun mengenai dia melecehkan kehormatannya dan harga dirinya dengan mengucapkan perkataan yang tersebar ke pelbagai tempat yang menyebabkan aib wanita itu berserta keluarga dan anak-anaknya di kemudian hari, lalu si penuduh hanya mengatakan: "Saya bertaubat kepada Allah", maka hal ini belum cukup. Ia wajib menyatakan kebohongan dirinya dan mengakui bahawa ia sudah berdusta terhadap wanita itu atau ia meminta kerelaan si pemilik hak. Maka si pemilik hak boleh memaafkannya, dan jika tidak, si penuduh harus menyerahkan dirinya untuk disebat 80 kali dan bertaubat kepada Allah sesudah itu, maka taubatnya akan diterima.

Saturday, January 23, 2010

Hidup penuh bermaruah

Oleh Ahmad Naim Tahir
ahmadnaim@bharian.com.my





Warga Gaza tidak pernah tunduk atau takut kepada rejim Zionis

"SELAMAT datang ke Gaza, selamat datang ke alam kegembiraan".

Agak memeranjatkan kerana itulah yang diucapkan seorang lelaki Gaza kepada sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi Viva Palestina ke wilayah itu, baru-baru ini.



Memeranjatkan kerana mereka tahu warga Gaza tertekan akibat kepungan tentera Israel sejak 27 Disember 2008 dan terperangkap dalam keganasan dan penindasan rejim Zionis sejak puluhan tahun sebelum itu.

Lalu, apa yang dimaksudkan lelaki berkenaan dengan kata-kata itu. Adakah dia sememangnya amat tertekan dengan keadaan di Gaza sehingga tidak tahu lagi membezakan penderitaan dan kegembiraan.

Walaupun dalam keadaan fizikal dan minda yang keletihan, kata-kata lelaki itu terngiang-ngiang dalam fikiran ketua konvoi Malaysia, Matthias Chang yang kemudian memerah otak cuba mentafsir apa yang dimaksudkan.


UMAT Islam bersolat dalam masjid yang runtuh.

Beliau mewakili badan bukan kerajaan (NGO), Perdana Global Peace Organization (PGPO) bersama Abd Rafee Abd Khatab selaku timbalannya, selain Shamsul Akmar, Juana Jaafar Manap dan Ram Karthigesu.

Turut serta empat kru Bernama serta dua lagi aktivis NGO Malaysia yang berada di Syria, selain pelajar Malaysia di London, Ibrahim Mohd Azmi yang pada mulanya menyertai konvoi dari ibu kota England pada 6 Disember 2009.

Bersama-sama mereka, ratusan aktivis lain dari seluruh dunia yang bergerak dalam 220 kenderaan dengan misi penghantaran bantuan kemanusiaan bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.5 bilion) kepada rakyat Gaza.

Menerusi konvoi itu, PGPO menyumbang hampir RM500,000 dalam bentuk bantuan keperluan dan dua ambulans.


“Kami tiba di Gaza kira-kira jam 4 pagi, ada seorang lelaki menyambut kami dengan kata-kata sedemikian. Jika diikutkan badan yang amat letih kerana memandu terlalu lama, kata-kata itu mungkin masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Namun selepas berfikir, kata-kata itu menggambarkan azam warga Gaza dalam meneruskan hidup. Ya... Israel boleh menyerang dan menindas mereka, tetapi biarlah... mereka terus hidup seperti biasa, seperti orang lain juga,” katanya.

Sukarelawan Malaysia bertemu beberapa ahli Parlimen Palestin dan seperti dijangka, banyak kisah sedih yang diceritakan, termasuk kehilangan lebih 15 ahli Parlimen yang diculik Israel dan ada yang dibunuh.

Sebenarnya, kisah sedih seperti itu hanya diceritakan jika ada yang bertanya kerana keutamaan warga Gaza kini ialah mendapatkan keperluan asas, terutama kelengkapan dan bantuan pendidikan.

“Saya dibawa masuk ke sebuah bilik di bangunan Parlimen yang sebahagian besarnya musnah akibat ledakan bom Israel. Bagi mereka ia sebenarnya pejabat, biliknya kecil saja dan di satu sudut, ada rak menempatkan bahan bacaan.

“Dengan penuh bangga, mereka memberitahu ‘itulah perpustakaan kami.’ Mungkin orang akan anggap, apa nak dibanggakan dengan perpustakaan sekecil itu, tetapi mereka yang faham tahu kenapa mereka begitu berbangga dengannya,” kata Chang.

Ia sebenarnya simbolik kepada masyarakat dunia dan kepada Israel bahawa “kamu tidak boleh memusnahkan Parlimen kami, apa saja yang tinggal akan kami gunakan untuk meneruskan hidup”.

Dengan penuh bangga juga, ahli Parlimen berkenaan meminta Chang merakamkan gambar pejabat dan perpustakaan Parlimen yang hanya mengandungi tiga set kerusi meja dan rak menempatkan buku itu.

“Saya kagum dengan semangat pemimpin dan warga Gaza, tetapi kisah seperti itu tidak begitu ditonjolkan media. Laporan media sebelum ini hanya memaparkan penderitaan, kesedihan dan rayuan mereka meminta bantuan.

“Tidak banyak yang memuatkan kisah semangat, maruah dan keyakinan diri yang tinggi di kalangan warga Gaza. Mereka tidak berasa malu, kalah atau dijajah...mereka hidup seperti biasa...itu paling mengagumkan,” katanya.

Atas sebab itu, Chang tidak begitu berminat menceritakan insiden yang berlaku sepanjang perjalanan konvoi dari London ke Gaza kerana itu bukan topik utama misi berkenaan, sebaliknya lebih penting apa yang berlaku di Gaza City.

Kisah sedih penderitaan warga Gaza, kemusnahan harta benda, pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tua juga, katanya, sudah acap kali dilaporkan media, seolah-olah itu saja yang ada di sana.

Gaza, katanya, adalah kisah keberanian, semangat, iltizam dan perpaduan rakyat. Ia bukan layar kepada kisah dendam kesumat, kekecewaan dan benci walaupun siang dan malamnya diisi deruman enjin pesawat pejuang Israel, pengeboman dan pembunuhan.

Semua ciri itu menyumbang kepada kekuatan warga Gaza, biarpun musuh dianggap begitu kuat dan mendapat sokongan negara kuasa besar, wilayah itu sehingga kini gagal ditawan.

Biarpun dikhianati dari dalam, dipencilkan negara jiran yang sebangsa dan seagama atau dilabel pengganas, Gaza tetap mempertahankan daulat dan warganya meneruskan hidup penuh bermaruah.

“Apabila saya melihat mata mereka, tidak tergambar wajah dendam atau kebencian, sebaliknya pancaran yang mahukan keamanan, cuma bingung kenapa manusia boleh melakukan kekejaman kepada manusia lain, kenapa berlaku ketidakadilan itu.

“Ada yang ditahan, diculik dan dikurung dalam penjara. Ada yang dibunuh, tetapi keluarga mereka tidak bercakap dalam nada berdendam, cuma minta supaya kisah itu didedahkan, jangan disenyapkan. Dendam dan benci tiada dalam kamus hidup mereka,” katanya.

Kata Chang, keutamaan warga Gaza kini bukan kewangan walaupun mereka bersedia menerima jika ada yang sudi menyalurkan, tetapi lebih kepada pendidikan, terutama bantuan biasiswa untuk generasi muda meneruskan pengajian.

“Sebab mereka tahu jika generasi muda tidak berpelajaran, sukar untuk membangunkan masyarakat. Perlu ada profesor, doktor, pakar psikologi dan pakar lain untuk anak-anak mereka belajar dan mengatasi trauma perang,” katanya.

Beliau yakin jika mendapat peluang sebegitu, Palestin mampu membangun menjadi negara termaju di benua Arab andai berjaya bebas daripada penindasan Israel kelak.

Simbolik kekuatan iltizam warga semenanjung itu juga tergambar apabila peserta konvoi dibawa bersarapan di sebuah restoran menghadap Pelabuhan Gaza atau dengan saiznya yang seperti itu, lebih layak dipanggil jeti.

“Mereka menunjukkan kepada kami pelabuhan itu dan berkata: “Tidakkah itu pemandangan yang cantik.” Mesejnya, lihatlah pelabuhan kami yang begitu cantik dan tenang. Hidup mereka riang dan tenang walaupun ditekan penindasan.

“Bandar Gaza juga bersih, sedangkan ia adalah zon perang. Mesejnya mereka tidak akan hidup seperti haiwan walaupun kamu (Israel) menindas. Kami hidup seperti manusia lain dan kebersihan sebahagian daripada hidup kami,” katanya.

Warga Gaza contoh terbaik sebagai inspirasi hidup, mereka tidak mengeluh atau merungut mengenai kehidupan. Bagi mereka, Palestin akan menang, rakyatnya akan terus hidup dan tidak pernah takut atau tunduk kepada Israel.

“Lihatlah dengan segala kelebihannya, Israel masih gagal menewaskan Gaza. Deruman enjin pesawat tentera atau ledakan bom sudah perkara biasa. Cuba kita bayangkan jika Palestin merdeka,” kata Chang.

Kekurangan yang dihadapi tidak dijadikan alasan. Pernah makmal sebuah universiti menempatkan peralatan bernilai RM15 juta musnah dibom Zionis, tetapi hanya 10 hari selepas itu pembelajaran sudah disambung semula.

Bangunan Kementerian Kewangan dan beberapa kementerian yang menjadi tonggak pentadbiran kerajaan dan menyimpan dokumen penting juga hancur, tetapi selepas itu semua dokumen penting disimpan secara berselerak di sekitar Gaza.

“Cuba kita lihat Jerman dan Jepun, kononnya negara maju tetapi mereka sebenarnya masih tunduk kepada kuasa besar. Di negara mereka, masih ada pangkalan tentera negara kuasa besar... apa gunanya merdeka,” katanya.

Berbeza dengan Gaza, wilayah itu dikepung tetapi masih gagal dijajah kerana semangat melawan warganya yang begitu kuat sehingga Israel yang dilengkapi senjata moden terpaksa berundur dek semangat melawan yang kental oleh pejuang Gaza.

“Israel boleh melancarkan 100 peluru berpandu ke Gaza, tetapi ia akan dibalas walaupun hanya satu peluru berpandu dari Gaza. Jika Israel ada peluru berpandu, Gaza juga ada senjata itu untuk mempertahankan kedaulatannya,” tambah Chang.

Katanya, laporan media hanya menumpukan kepada penderitaan rakyat Palestin dan Gaza, sedangkan memang itu yang akan berlaku kerana mempertahankan diri daripada penindasan oleh negara penuh lengkap dengan aspek ketenteraan dan persenjataan.

“Laporan seperti itu menggambarkan Israel begitu berkuasa. Memang warga Gaza menderita, tetapi secara psikologinya mereka menang. Walaupun ramai rakyatnya terbunuh, tetapi negara mereka masih gagal dijajah Zionis.

“Moral warganya tetap utuh... walaupun ada penganut Islam dan Kristian, mereka hidup penuh bersatu pada tahap tertinggi. Perpaduan masyarakat Gaza contoh terbaik kepada dunia,” katanya.

Katanya, pengajaran paling penting daripada misi kali ini ialah warga Gaza tidak akan menggadaikan nilai asas kemanusiaan - hidup penuh bermaruah dan bangun semula jika terjatuh.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berpesan mewakili sukarelawan Viva Palestina dari Malaysia: “Jangan anggap kami hero, memang perjalanan memenuhi misi ini sukar, tetapi ia berbaloi kerana banyak pengajaran kami peroleh di Gaza”.

FAKTA
Kronologi keganasan Israel ke atas Gaza


Israel melancarkan 'Operation Cast Lead' ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 dengan alasan mahu menghentikan serangan roket harian Hamas ke penempatan Yahudi di Israel.

Kempen keganasan berlarutan 22 hari, mengorbankan 1,400 rakyat Palestin, mencederakan 5,500 orang dan beratus-ratus lagi parah, manakala hanya 13 tentera Israel maut.

Selepas setahun kepungan Israel, lebih 90 peratus penduduk Gaza memerlukan bantuan makanan, 32,000 penduduk tanpa bekalan air paip dan ribuan lagi tidak berumah, selain menghadapi peningkatan masalah psikososial.

Rundingan di antara Israel dan Palestin berhubung perjanjian damai sehingga kini masih tergantung.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipandang tinggi rakyat Palestin kerana sumbangannya dalam usaha membebaskan negara itu daripada penindasan selama 60 tahun oleh Israel.

Thursday, January 21, 2010

Ingatan bagi pelupa: Sifat malu berpengaruh atur pergaulan hidup

MALU sangat besar pengaruhnya dalam mengatur pergaulan hidup. Perasaan malu membuatkan orang berakal enggan mengerjakan perbuatan jahat. Sebelum wujudnya undang-undang, manusia terlebih dulu dilindungi oleh hukum yang melekat dalam budi pekerti.

Malu menjadi buah mulut orang dan berasa malu apabila orang lain hilang kepercayaan. Rasa malu tidak akan hidup dalam budi pekerti seseorang jika dia tidak mempunyai kehormatan diri.

Daripada malu timbul perasaan mempertahankan diri, bangsa, negeri dan keyakinan. Perasaan itu juga mendorong berkejar-kejar mencari kehormatan dan kemuliaan dalam lapangan perjuangan hidup kerana tidak mahu kalah, malu tertinggal dan malu tercicir.



Malu, menghasilkan kekayaan, ilmu dan fikiran baru. Malu menyebabkan orang tidak mahu mundur dalam perjuangan. Jika suatu kaum tak punya rasa malu, ia akan tertinggal daripada masyarakat lain.

Sifat malu membawa orang mengharungi lautan besar, memasuki rimba belantara, ditimpa susah dan kepayahan untuk mencapai keutamaan. Sifat malu menyebabkan manusia sanggup menahan nafsu, mengekang diri dan menempuh halangan lantaran menghindarkan daripada perangai durjana. Daripada malu juga timbul sifat baik, benar dan lurus.

Dari Meja Juvitaku:
Yang pentingnya kita hendaklah sentiasa malu dengan Allah, segala nikmat dunia, penglihatan, kesihatan tak mungkin dapat dibalas dengan apa cara sekalipun. Oleh itu insaf-insaflah yeee..terutama sesiapa yang diberi amanah sebagai pemimpin... Setiap persatu akan dihisab...

Tuesday, January 19, 2010

Betul ke US Ugut Malaysia?

Amerika Syarikat mungkin mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Malaysia jika kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) masih gagal menangani dua isu yang dianggap serius oleh masyarakat antarabangsa, menurut sumber-sumber diplomatik.

Pentadbiran Presiden Barrack Obama menuntut penjelasan penuh dari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak bersabit kecurian dua enjin pesawat F-5E dan siri serangan ke atas gereja serta rumah ibadat lain bersabit penggunaan kalimah Allah sejak dua minggu lalu.

Menurut sumber Wisma Putra, sekiranya Najib memandang ringan terhadap kedua-dua isu berkenaan, Washington mungkin mengenakan sekatan ekonomi. Amerika Syarikat adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara bernilai lebih dari AS43.7 bilion.

Sebarang sekatan ekonomi akan memberi kesan buruk kepada Negara yang sudah pun ditimpa defisit belanjawan yang begitu besar. Sumber-sumber Wisma Putra memberitahu bahawa nota diplomatik yang dihantar oleh Washington mencerminkan keseriusan
pentadbiran Obama yang sebelum ini hanya membuat bantahan menerusi kenyataan.

“Selepas ini, sekiranya kerajaan masih berdolak dalik dan tidak serius menangani masalah ini, tekanan lebih hebat mungkin dikenakan termasuk sekatan ekonomi,” kata sumber berkenaan.

Dalam SMSnya kepada Suara Keadilan, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Tina Malone Washington memandang berat laporan media mengenai kehilangan ejin pesawat buatan negara itu.

“Kerajaan Amerika Syarikat memandang berat laporan mengenai kecurian enjin pesawat F-5E yang dibekalkan kepada Malaysia. Kerajaan Amerika Syarikat telah meminta kerajaan Malaysi membentangkan laporan komprehensif berkaitan penyiasatan mengenai perkara ini.

Sumber Wisma Putra turut mengesahkan Amerika Syarikat juga menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia bersabit serangan bom petrol dan vandalisme ke atas beberapa buah gereja Kristian.

Serangan itu bertujuan mencetuskan provokasi dan ketegangan agama setelah Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah penerbitan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam laporannya.

Kebimbangan Amerika Syarikat itu disuarakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Antarabangsa Amerika Mengenai Kebebasan Agama, Leonard Leo.

“Bagaimana cara pemimpin Malaysia menangani perkara ini akan menentukan masa depan politik dan ekonomi negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan. -SK

Dari meja Juvitaku:
Kalau betul terjadinya sekatan ekonomi terhadap Malaysia, samalah situasi kita dengan Korea Utara, Iran dan lain-lain negara yang dikenakan sekatan ekonomi. Apa persiapan kerajaan Negaraku yeee...

Orang putih boleh berambus!





















PENDUDUK Haiti tunggu giliran ambil bekalan makanan.


PORT-AU-PRINCE: Mangsa gempa bumi 7 skala Richter di Haiti terus maut kerana ketiadaan makanan dan ubat malah ada wanita hamil bersalin di tempat terbuka manakala orang cedera terus tiba di pusat rawatan sementara ketika operasi menyelamat diteruskan dan tentera asing tiba untuk membantu.

"Kami tidak perlukan bantuan tentera. Apa yang kami perlu ialah makanan dan tempat berteduh," kata seorang pemuda yang menjerit ke arah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon ketika melawat ibu kota Haiti, kelmarin.

"Ajal kami semakin hampir," kata seorang wanita kepada pemimpin badan dunia itu ketika menjelaskan dia dan lima anaknya tidak ada makanan.




"Orang kulit putih, berambus dari sini," kata beberapa orang lain di kawasan setinggan Bel-Air yang mungkin kecewa kerana orang asing yang ada tidak menghantar bekalan keperluan.

Bekalan air semakin dapat dihantar kepada lebih ramai orang ketika ada laporan mengatakan pergaduhan berlaku ketika mangsa menunggu mendapatkan makanan termasuk di padang golf.

Jurucakap PBB, Elisabeth Byrs berkata, ada kemungkinan mangsa lain masih boleh hidup hingga Isnin depan. Anggota penyelamat menemui 70 mangsa yang terselamat di bawah runtuhan setakat ini.

"Masih ada mangsa yang hidup. Harapan masih ada," katanya. Program Makanan Dunia pula hampir mencapai sasaran untuk membantu 60,000 orang kelmarin, meningkat daripada 40,000 sehari sebelumnya," kata jurucakap agensi itu, David Orr.

Pegawai PBB berkata, mereka perlu menghantar bantuan kepada dua juta orang dalam tempoh sebulan.

Apa yang mengejutkan ialah penyelamat terus menemui orang terselamat di bawah runtuhan, lima hari selepas gempa melanda. – AP