Tuesday, January 19, 2010

Betul ke US Ugut Malaysia?

Amerika Syarikat mungkin mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Malaysia jika kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) masih gagal menangani dua isu yang dianggap serius oleh masyarakat antarabangsa, menurut sumber-sumber diplomatik.

Pentadbiran Presiden Barrack Obama menuntut penjelasan penuh dari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak bersabit kecurian dua enjin pesawat F-5E dan siri serangan ke atas gereja serta rumah ibadat lain bersabit penggunaan kalimah Allah sejak dua minggu lalu.

Menurut sumber Wisma Putra, sekiranya Najib memandang ringan terhadap kedua-dua isu berkenaan, Washington mungkin mengenakan sekatan ekonomi. Amerika Syarikat adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara bernilai lebih dari AS43.7 bilion.

Sebarang sekatan ekonomi akan memberi kesan buruk kepada Negara yang sudah pun ditimpa defisit belanjawan yang begitu besar. Sumber-sumber Wisma Putra memberitahu bahawa nota diplomatik yang dihantar oleh Washington mencerminkan keseriusan
pentadbiran Obama yang sebelum ini hanya membuat bantahan menerusi kenyataan.

“Selepas ini, sekiranya kerajaan masih berdolak dalik dan tidak serius menangani masalah ini, tekanan lebih hebat mungkin dikenakan termasuk sekatan ekonomi,” kata sumber berkenaan.

Dalam SMSnya kepada Suara Keadilan, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Tina Malone Washington memandang berat laporan media mengenai kehilangan ejin pesawat buatan negara itu.

“Kerajaan Amerika Syarikat memandang berat laporan mengenai kecurian enjin pesawat F-5E yang dibekalkan kepada Malaysia. Kerajaan Amerika Syarikat telah meminta kerajaan Malaysi membentangkan laporan komprehensif berkaitan penyiasatan mengenai perkara ini.

Sumber Wisma Putra turut mengesahkan Amerika Syarikat juga menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia bersabit serangan bom petrol dan vandalisme ke atas beberapa buah gereja Kristian.

Serangan itu bertujuan mencetuskan provokasi dan ketegangan agama setelah Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah penerbitan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam laporannya.

Kebimbangan Amerika Syarikat itu disuarakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Antarabangsa Amerika Mengenai Kebebasan Agama, Leonard Leo.

“Bagaimana cara pemimpin Malaysia menangani perkara ini akan menentukan masa depan politik dan ekonomi negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan. -SK

Dari meja Juvitaku:
Kalau betul terjadinya sekatan ekonomi terhadap Malaysia, samalah situasi kita dengan Korea Utara, Iran dan lain-lain negara yang dikenakan sekatan ekonomi. Apa persiapan kerajaan Negaraku yeee...

Orang putih boleh berambus!





















PENDUDUK Haiti tunggu giliran ambil bekalan makanan.


PORT-AU-PRINCE: Mangsa gempa bumi 7 skala Richter di Haiti terus maut kerana ketiadaan makanan dan ubat malah ada wanita hamil bersalin di tempat terbuka manakala orang cedera terus tiba di pusat rawatan sementara ketika operasi menyelamat diteruskan dan tentera asing tiba untuk membantu.

"Kami tidak perlukan bantuan tentera. Apa yang kami perlu ialah makanan dan tempat berteduh," kata seorang pemuda yang menjerit ke arah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon ketika melawat ibu kota Haiti, kelmarin.

"Ajal kami semakin hampir," kata seorang wanita kepada pemimpin badan dunia itu ketika menjelaskan dia dan lima anaknya tidak ada makanan.




"Orang kulit putih, berambus dari sini," kata beberapa orang lain di kawasan setinggan Bel-Air yang mungkin kecewa kerana orang asing yang ada tidak menghantar bekalan keperluan.

Bekalan air semakin dapat dihantar kepada lebih ramai orang ketika ada laporan mengatakan pergaduhan berlaku ketika mangsa menunggu mendapatkan makanan termasuk di padang golf.

Jurucakap PBB, Elisabeth Byrs berkata, ada kemungkinan mangsa lain masih boleh hidup hingga Isnin depan. Anggota penyelamat menemui 70 mangsa yang terselamat di bawah runtuhan setakat ini.

"Masih ada mangsa yang hidup. Harapan masih ada," katanya. Program Makanan Dunia pula hampir mencapai sasaran untuk membantu 60,000 orang kelmarin, meningkat daripada 40,000 sehari sebelumnya," kata jurucakap agensi itu, David Orr.

Pegawai PBB berkata, mereka perlu menghantar bantuan kepada dua juta orang dalam tempoh sebulan.

Apa yang mengejutkan ialah penyelamat terus menemui orang terselamat di bawah runtuhan, lima hari selepas gempa melanda. – AP

Sunday, January 17, 2010

Perompak tebuk dinding larikan barang kemas lebih RM400,000

IPOH: Dua tahun selepas dirompak, sebuah kedai emas di Gunung Rapat di sini, sekali lagi mengalami kerugian lebih RM400,000 apabila ia dipecah masuk awal pagi tadi.

Kejadian itu disedari pengurus kedai emas berkenaan, Roslan Zakaria, ketika beliau membuka kedainya pada kira-kira 8.30 pagi tadi.

Roslan berkata, ketika beliau hendak membuka kedainya pagi ini, pemilik kedai sebelah memberitahu bahawa ada lubang yang dikesan ditebuk pada dinding kedai mereka.



"Ketika memasuki kedai itu saya terkejut apabila mendapati satu lubang besar di dinding. Selepas memeriksa kedai, saya dapati beberapa dulang berisi barang kemas hilang," katanya.

Beliau berkata, awal pagi tadi alat penggera telefon bimbitnya yang disambung kepada sistem keselamatan kedai berbunyi, tetapi beliau tidak mengendahkannya kerana pernah berbunyi sebelum ini tetapi apabila diperiksa tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Roslan berkata, ia adalah kali kedua kedai emasnya menjadi sasaran penjenayah, di mana dalam kejadian pertama pada Oktober 2008, empat lelaki bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM500,000 di kedai itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar, berkata kejadian kali ini dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam tadi hingga jam 3 pagi.

Katanya, polis percaya lebih daripada dua penjenayah terbabit dan mereka menggunakan penggerudi untuk memecah masuk kedai gunting sebelum masuk ke kedai runcit yang bersebelahan dengan kedai emas itu.

Ibrahim berkata, polis menemui sarung tangan yang ditinggalkan kumpulan itu.

Beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dengan menelefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. - Bernama

Sukan: Chong Wei, Gade buat perhitungan

SEBELAH kaki Lee Chong Wei kian menghampiri gelaran sulung musim ini ketika hanya Peter Gade menjadi halangan terakhir yang perlu diatasi pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka Korea di Seoul, hari ini.

Pilihan utama kejohanan itu mara dengan cerita berbeza daripada lawannya dari Denmark. Malah, segala-galanya nampak mudah buat Chong Wei yang hanya memerlukan 37 minit bagi menundukkan naib juara dunia 2009 dari China, Chen Jin 21-11, 21-13.

Selepas mata awal diraih perseorangan negara, Chen Jin mengikat kedudukan 1-1. Namun, ketika pukulan kencang tampak setanding buat kedua-dua pemain, hantaran depan jaring ternyata menyebelahi Chong Wei yang menguasai mudah set pertama.

Chen Jin yang bangkit pada set kedua merampas pendahuluan sebelum pemain nombor satu dunia itu menyamakan mata 6-6 seterusnya 7-7 dan mencuri enam mata pada pertukaran servis, sebelum pantas menawan set kedua.

Sementara itu, laluan sukar pula ditempuh Gade yang tampil selaku pilihan kedua yang dipaksa bertarung selama 1 jam 2 minit untuk menumpaskan pemain dari China, Chen Long 21-13, 10-21, 21-17.

Malah, saingan berkenaan adalah pertarungan kedua berturut-turut menuntut stamina tinggi daripada Gade yang dipaksa berhempas pulas selama 1 jam 19 minit bagi mengenepikan perseorangan tuan rumah, Park Sung Hwan, di suku akhir kelmarin. Acara perseorangan wanita pula bakal menyaksikan pertembungan pemain tuan rumah, Sung Ji-hyun yang mengatasi rakan senegara, Bae Seung-hee 21-18, 17-21, 21-9 dengan pemain China, Wang Shixian yang mudah menewaskan Kim Hi-moon dari Korea Selatan 21-17, 22-20.

Beregu lelaki Korea yang juga pilihan utama, Jung Jae-sung-Lee Yong-dae pula menempuh pertarungan berganda pasangan China. Selepas menundukkan kombinasi Chai Bao-Zhang Nan 21-16, 22-20 semalam mereka akan berdepan Chai Yun-Fung Haifeng.

Pilihan kelima itu mara selepas mengenepikan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Yoshiteru Hirobe 21-15, 21-14.

Turut mara, beregu utama wanita China, Cheng Shu-Zhao Yunlei yang mengatasi Ha Jung-eun-Lee Kyung-won dari Korea Selatan 21-5, 21-14 untuk bertemu pasangan Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa yang menumpaskan kombinasi tuan rumah, Jung Kyung-eun-Yoo Hyun-young 14-21, 21-17, 21-14.

Tuesday, January 12, 2010

Pakar pemusnah bom British maut di Afghanistan


LONDON: Seorang anggota tentera yang juga pakar pemusnah bom British dilaporkan terbunuh dalam satu letupan di selatan Afghanistan semalam, sekali gus petanda bahawa keganasan semakin buruk dengan enam tentera asing terbunuh setakat ini.

Tanpa menamakan anggota tentera itu, beliau dilaporkan terbunuh ketika bertugas di Wilayah Utara Helmand.

Beliau adalah anggota tentera British yang kedua maut tahun ini.



Anggota tentera berkenaan ditugaskan khusus untuk menangani semua bentuk perisian ancaman bom dan letupan dikenali Improvised Explosive Devices (IEDs).

IEDs kini menyebabkan ramai kematian dan kecederaan di kalangan anggota tentera asing yang memburu Taliban di Afghanistan.

"Ia satu kehilangan yang amat besar apabila askar dari Regimen Pemusnah Bom terbunuh akibat letupan," kata jurucakap tentera, Lt Kol David Wakefield. - AFP

Saturday, January 9, 2010

Dunia tak stabil jika Iran diserang

WASHINGTON: Serangan ke atas Iran mungkin menyebabkan keadaan menjadi amat tidak stabil dan menimbulkan kesan yang tidak dijangka di Timur Tengah.


Pengerusi Ketua Turus Tentera Amerika Syarikat (AS), Admiral Mike Mullen berkata, AS bersedia berdepan sebarang risiko andai perang meletus di Iran meskipun tenteranya terbabit dalam perang di Iraq dan Afghanistan.

"Sudah lama kami memberi perhatian terhadap Iran dan menyedari potensi ancaman program nuklear Iran yang pastinya bakal diguna menghasilkan senjata.

"Jika Iran memiliki senjata nuklear, keadaan pasti tidak stabil tapi pada masa sama, senario sama juga akan turut berlaku jika Iran diserang," katanya.

Mullen bimbang kesan sampingan jika Iran diserang kerana ia pasti menyebabkan dunia bakal menjadi lebih tidak stabil.

Hingga kini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan tiga sekatan terhadap Iran kerana enggan memenuhi arahan menghentikan aktiviti sensitif program nuklearnya.

Pada masa ini, hasrat AS dan sekutunya melaksanakan sekatan keempat ditentang Russia dan China.

Pada masa sama, rundingan membabitkan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, AS, Russia, China, Perancis, Britain dan Jerman masih diteruskan dan Mullen menganggap jalan penyelesaian terbaik ialah melalui diplomasi.

"Masyarakat antarabangsa perlu berdiplomasi menyelesaikan masalah ini bagi menghalang ketidakstabilan yang mungkin berlaku menjadi kenyataan.

"Semua pihak terbabit perlu meneruskan perbincangan bagi mencapai kata sepakat," katanya lagi.

Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates turut menyokong isu nuklear Iran diselesaikan di mejar rundingan. - Reuters

Friday, January 8, 2010

Tazkirah Jumaat - Jika ditakdirkan miskin..!

Oleh : gentarasa

Pernahkah anda rasa lebih miskin setelah mendapat sesuatu? Ramai yang pernah saya tanyakan mengakui pernah. Bila saya tanyakan lagi, mengapa? Mereka menjawab, sebab keinginan jadi semakin bertambah. Ketika duit sedikit… keinginan mungkin hanya satu.
Tetapi bila duit mula bertambah, keinginan jadi 2, 3, 4 dan seterusnya. Dan paling malang bila kadar pertambahan duit itu adalah rendah berbanding kadar peningkatan keinginan… Dan kita akan menjadi lebih “kurang” dan “miskin’ daripada sebelumnya! Inilah sifat tabie manusia yang diceritakan dalam al Quran, “sangat mendalam cintanya kepada kepada harta”. Tanpa kawalan iman, keinginan itu akan menjahanamkan.

Psikologi ini malangnya dieksploitasi semaksimumnya oleh para kapitalis. Mereka tahu… sebaik manusia mendapat sesuatu, keinginan mereka mula berpindah kepada sesuatu yang lain pula. Inilah di sebalik penciptaan produk dan perkhidmatan yang begitu laju. Fesyen pakaian, jenama produk, eksesori alat telekomunikasi, menu makanan yang sentiasa dinamik.

Dibius atas nama “kemajuan”, manusia disiksa dengan pelabagi keinginan yang tidak bertepian. Lalu… kapitalis memperalatkan kehendak nafsu manusia yang tidak ada batas dan tidak mengenal puas walaupun di sana Al Quran ada mengingatkan, “tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mata benda yang menipu daya!” Mari ikuti tulisanini… jangan dicari neraka dunia. Carilah syurga dunia. Tetapi sebelum itu ikuti kisah ini: Cerita ini pendek dan ringkas sahaja.

Namun pengajarannya cukup relevan dan padat. Ia mengisahkan seorang budak yang telah kehilangan sejumlah wang dalam perjalanannya ke kedai untuk membeli gula-gula. Setelah puas mencari wangnya yang hilang tetapi tidak juga ditemuinya, maka budak itu kecewa lalu menangis teresak-esak di tepi jalan. Tangisannya itu telah menarik perhatian seorang tua yang kebetulan sedang berjalan di situ. Orang tua itu berhenti dan lalu bertanya, “mengapa engkau menangis wahai budak?”.


Budak itu menjawab, “saya kehilangan wang untuk membeli gula-gula.” Orang tua itupun bersimpati lalu berkata, “hentikanlah tangisanmu dan ini wang Pak Cik sebagai gantinya.” Budak itupun menerima wang tersebut. Namun sejurus kemudian dia menangis lagi. Malah kali ini tangisannya jauh lebih kuat. Pak Cik tadi kehairanan lalu bertanya, “kenapa engkau menangis lagi? Bukankah wangmu yang hilang itu telah kugantikan?” Budak itu terus menjawab, “saya menangis kerana jika wang sebelumnya tidak hilang, maka sudah tentu sekarang saya memiliki lebih banyak wang!” Iktibar dari kisah ini sebenarnya adalah berkisar di sekitar sifat tamak dan kerakusan manusia. Budak dalam kisah ini adalah lambang tabiat manusia yang tidak sabar dengan apa yang hilang dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Pada dasarnya, keadaan ini berlaku kerana dua sifat yang semakin pupus dalam jiwa manusia yakni sifat sabar dan sifat syukur.

Tangisan pertama, menunjukkan budak itu tidak sabar dengan kehilangan wangnya. Manakala tangisan kedua pula menunjukkan budak itu tidak bersyukur dengan apa yang ada. Dalam kedua-dua keadaan kanak-kanak itu susah hati. Susah hati inilah yang menyebabkan ia menangis. Susah hatinya kerana tidak sabar. Susah hatinya kerana tidak syukur. Pendek kata cerita ini membuktikan bahawa lebih atau kurangnya harta bukanlah faktor yang menentukan ketenangan jiwa.

Timbul pertanyaan dihati kita, apa sebenarnya ketenangan itu? Dan ia terletak di mana? Adalah sesuatu yang biasa jika manusia susah hati apabila ditimpa kemiskinan… Tetapi sangat aneh, mengapa ada orang yang masih susah hati ketika dilimpahi kekayaan? Ini satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan. Sebenarnya dalam Islam hakikat kekayaan ialah kaya hati. Inilah kekayaan yang hakiki. Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa.” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Bukanlah dinamakan kaya itu kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”

Apakah yang dimaksudkan dengan kaya hati? Kaya hati ialah hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan. Dan dalam apa jua keadaan orang yang memiliki hati yang sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan hakiki pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan bahawa kekayaan hati itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira simiskin atau sikaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.

Firman Allah: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Al Ra’d Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan? Ini kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan maka seseorang individu itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Bila ditimpa musibah, katalah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan dari Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.

Walaupun dia telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin , diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hatinya dia berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”Dia tidak aka n menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana dia sedar sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah. Maka dengan keyakinan yang sebegini orang tersebut akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya.

Dia yakin, bahawa semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan. Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya. Maka jika kita sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah? Walaupun patuh kepada-Nya bukanlah alasan untuk tidak berusaha menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah ada kebaikan yang tersembunyi.

Dan hakikat itu pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang Maha luas. Lupakah kita bahawa Allah pernah mengintakan bahawa,“dan ada perkara yang kamu benci tetapi itu membawa kebaikan bagi kamu dan ada perkara yang kamu sukai tetapi itu tidak baik bagi kamu. Allah lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.” Orang yang hatinya mengingati Allah juga akan bersifat syukur apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak, sombong, zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Dia sedar bahawa kelebihan yang diberikan kepadanya hakikatnya adalah satu amanah daripada Allah yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya.

Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah seterusnya menggunakan nikmat itu selaras dengan tujuan pengurniaan nikmat tersebut. Jika dia diberi kekayaan, dia sedar itu adalah amanah dari Allah untuk membantu hamba Allah yang lain. Maka dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika dia pandai, dia rasa kepandaian itu datangnya dari Allah lalu digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.

Dia tidak sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga. Sebaliknya dia mewarisi sifat Nabi Sulaiman yang apabila dipuji dia berkata: “Semua ini adalah pemberian Tuhanku.” Justeru apabila kita dikurniakan nikmat, kita akan diajar untuk mengucapkan alhamdulillah – ertinya, segala puji bagi Allah. Apa rahsia di sebalik ucapan ini? Ertinya, kita diminta memuji Allah bukan memuji diri kita apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, kita ucapkan ‘segala puji bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan harta kepada kita dan kepada-Nyalah kita wajib berterima-kasih. Hati kita akan puas dengan apa yang diberikan-Nya.

Sebaliknya jika kita tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kita akan ditimpa oleh dua kemungkinan – satu rasa sombong diri dengan kelebihan dan kurniaan itu. Atau yang kedua, rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada. Mencari dan terus mencari, umpama orang yang minum air laut, makin diminum makin haus. Fenomena inilah yang melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’ – rasuah, penyelewengan dan berbagai-bagai skandal kewangan dikalangan orang atasan.

Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya. Inilah bahana kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup dan puas. Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah mengalami ‘sakit rohani’ seperti yang tertera dalam kisah ini. Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia.

Manusia selalunya bersifat keluh-kesah bila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia menderita dalam apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau dalam kelebihan. Benarlah kata hukama bahawa, “barang siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.” Sama seperti budak dalam cerita ini – hilang wang menangis, dapat wang pun masih menangis. Jelaslah bahawa wang dan harta bukanlah ukuran ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup.

Ya, wang tidak dinafikan perlu untuk kebahagiaan hidup tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah dihuni oleh ramai orang miskin yang kecewa, marah dan hasad terhadap kekayaan orang lain. Dan dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati. Dunia masakini juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus merasa miskin walaupun ditimbuni oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.

Akibatnya, berlakulah penyelewengan, rasuah, riba dan lain-lain jenayah kewangan yang dilakukan oleh orang yang telah kaya. Dengan adanya dua kelompok manusia ini, dunia menjadi semakin huru-hara. Tidak ada hubungan yang harmoni antara yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki manakala yang kaya pula terus tamak dan sombong. Moral dari cerita ini ialah carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan harta. Kekayaan hati bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan dan kebahagiaan di sana. Namun ia juga penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.

Percayalah, ketenangan di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat. Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kita akan dapat menuai hasil yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang kita tanam di dunia bantut dan kering layu? Sebab itu ahli sufi pernah berkata: “Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Ajjanatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Ah, nikmatnya syurga dunia, hati sentiasa lapang dan tenang. Kaya, syukur! Miskin, sabar !! Inilah hakikatnya perjuangan kita di dunia.

Sumber: albanjari: politikbanjar.blogspot.com