Wednesday, June 3, 2009

Sikap bakhil nafi kesempurnaan iman

SETIAP orang berasakan dirinya tidak bakhil, walaupun pada pandangan dan ukuran orang lain dia sebenarnya bersifat demikian, sehingga lupa untuk berzakat, bersedekah, memberikan belanja pada keluarga dan ibu bapa. Malah, dia mengatakan dirinya bukan seorang yang kikir, tetapi cuma berhemat. Justeru, dia menyedekahkan pakaian yang lusuh kepada orang lain dan cukup berkira untuk berbelanja, khususnya kepada orang sekelilingnya.
Tetapi suka atau tidak, mereka yang tidak menunaikan tanggungjawab seperti di atas atau masih menunaikannya, namun dengan rasa berat hati seperti contoh terbabit sebenarnya tergolong dalam golongan yang bakhil.Sifat bakhil sangat merugikan dan antara keburukannya ialah:

Dibenci Allah. Kebencian Allah adalah sebab kepada kesempitan dan kesusahan.
Sifat bakhil bukan sifat mukmin dan menafikan kesempurnaan iman.


Menampilkan suatu kebodohan. Tabiat manusia berasa benci dan jijik kepada orang bakhil dan kikir. Ini adalah bukti semula jadi kejinya sifat bakhil. Oleh itu, orang yang sanggup bersifat bakhil adalah suatu kebodohan.

Orang bakhil dibenci dan dikeji manusia, terutama di kalangan ahli ilmu dan mereka yang berakhlak mulia. Bahkan orang bakhil juga tidak disukai di kalangan mereka sendiri.

Dengan memerhatikan keadaan dan kehidupan orang bakhil, dapat disimpulkan yang sifat itu tiada kebaikannya. Cuma yang ada hanya keburukan, kedukaan dan kesusahan yang mengakhiri hidupnya.Orang tua-tua mengungkapkan: "Kikir itu pada hakikatnya adalah fakir sekalipun banyak harta simpanannya dan pemurah itu pada hakikatnya kaya walaupun ia tidak berpunya."

Orang bakhil menjadi bahan cemuhan sewaktu hidupnya, bahkan selepas kematiannya. Harta yang disimpan tanpa dibelanjakan itu akan ditinggalkan. Sehinggakan mereka yang berhak mendapatnya tidak akan memujinya, tetapi akan menyumpah dan mencemuhnya. Malangnya nasib orang bakhil, di dunia dicela, di akhirat diseksa.

Orang bakhil biasanya akan sedar mengenai akibat buruk dan kebodohannya, bahkan kerugiannya apabila ajalnya hampir. Pada waktu itu, dia cuba menebus kebodohannya yang lalu dengan mewasiatkan harta ditinggalkan untuk derma amal kebajikan. Tetapi mungkin ahli keluarganya tidak akan mengendahkannya.

Orang bakhil akan diseksa di akhirat, iaitu dengan dikalungi lehernya semua barang yang dia kikir. Dahinya dan belakangnya akan dibakar dengan emas dan perak yang disimpan tanpa dikeluarkan pada jalan Allah.


Sifat bakhil kerana takutkan kefakiran dan kemiskinan adalah tipu daya syaitan yang menjanjikan kekayaan, sedangkan pada hakikatnya bakhil itu adalah kemiskinan.

No comments:

Post a Comment