Monday, November 16, 2009

PERGGAJIAN PEKERJA WANITA

Artikel nie berkaitan dengan Buruh Wanita. Yaaa laaa, kan ke ramai pekerja wanita skarang niee... tak kira apa sektor pun.. diorang nie memang ramai...

Berbalik kepada kes Bank yang tak mau bayar elaun bersalin untuk staff dia tuuu..aku nak kongsi sikit apa2 yang patut.... silalah baca sampai habis..ok


1. LARANGAN TERHADAP PENGGAJIAN PEKERJA WANITA

Pekerja-pekerja wanita yang digaji dalam kegiatan perindustrian dan pertanian tidak dibenarkan bekerja di antara pukul sepuluh malam hingga pukul lima pagi melainkan dengan kebenaran Ketua Pengarah atas permohonan majikan masing-masing.
"kegiatan pertanian" termasuk kerja-kerja di mana seseorang pekerja diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan bagi tujuan pertanian, perkebunan atau perhutanan, pemeliharaan binatang-binatang ternakan atau pengumpulan hasil tanaman atau pokok-pokok.

1.3 Kegiatan perindustrian" termasuklah kerja-kerja berikut:-

menganggu, mengubah, membuang, membawa, mencuci, memilih, melebu menapai,memecah atau usaha-usaha lain ke atas batu-batan, batukerikil,tanah liat, pasir, tanah-tanih atau hasil galian dengan sebarang kaedah atau cara apa pun;

[AK: AKTA KERJA 1955]

perusahaan-perusahaan untuk menceluarkan, meminda, mencuci, membaiki, memasang,menyiap, mengubahsuai bahan-bahan untuk jualan, dibungkus atau disediakan untuk serahantar,dipisah atau diroboh atau mengubah bentuk bahan-bahan atau mencerakin bahan-bahan galian,termasuklah perusahaan membina kapal dan penjanaan, pemindahan dan penyaluran arus elektrik atau kuasa bahan bakar dalam sebarang bentuk, kerja pembinaan, pengangkutan penumpang-penumpang atau barangan melalui jalanraya, landasan, air atau udara,termasuk pengendalian barangan limbungan, pengkalan, dermaga, gudang atau lapangan terbang.

[S. 2(1) AK]

1.2 Pekerja wanita tidak dibenar menjalankan kerja-kerja bawah tanah. Kerja bawah tanah ertinya sebarang kegiatan dilaksanakan bagi tujuan mengeluarkan apa-apa bahan daripada bawah permukaan bumi, samada menerusi lubang terowong atau gua batu semula jadi.

[S. 35 & S.2(1) AK]

2. PERLINDUNGAN SEMASA BERSALIN

2.1 Kelayakan pekerja wanita terhadap cuti bersalin

Setiap pekerja wanita layak mendapat cuti bersalin bagi tempoh tidak kurang daripada 60 hari berturut-turut bagi setiap kali bersalin. Bersalin bermakna melahirkan anak yang hidup atau mati yang berlaku selepas sekurang-kurangnya 28 minggu hamil.

[S.37(1) (a) & S. 2(1) AK]

2.2 Bila cuti boleh diambil

Setiap pekerja wanita layak mengambil cuti bersalin lebih awal iaitu dalam tempoh 30 hari sebelum bersalin atau sebaik sahaja ia bersalin.

[S. 37(1) (b) AK]

Sekiranya seseorang pekerja wanita mengambil cuti lebih daripada 30 hari sebelum ia bersalin,maka cuti yang lebih itu adalah tidak boleh dianggap sebagai cuti bersalin mengikut Akta Kerja.

2.3 Kelayakan pekerja wanita mendapat elaun bersalin

Pekerja wanita tidak layak mendapat elaun bersalin jika pada ketika bersalin ia telah mempunyai 5 orang anak atau lebih yang masih hidup. Anak bermaksud anak-anak kandung.

S. 37(1)(c)(d) AK]

Setiap pekerja wanita hanya layak mendapat elaun bersalin sekiranya pada ketika bersalin ia diambil bekerja oleh majikan pada bila-bila masa dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin dan telah bekerja dengan seseorang majikan tidak kurang daripada 90 hari dalam tempoh 9 bulan sebelum ia bersalin.

[S. 37(2) AK]

2.4 Notis yang perlu diberi kepada majikan

Setiap pekerja wanita yang akan meninggalkan pekerjaannnya dan mengetahui yang ia akan bersalin dalam masa 4 bulan lagi hendaklah memberitahu majikannya tentang kehamilannya sebelum meninggalkan pekerjaan itu. Sekiranya ia gagal memberitahu majikannya ia tidak berhak mendapat elaun bersalin.

[S. 40(1) AK]

Bagi pekerja-pekerja wanita yang sedang bekerja, ia hendaklah memberitahu majikannya masa dan tarikh ia dijangka memulakan cuti bersalin dalam tempoh 60 hari sebelum ia dijangka bersalin. Sekiranya ia gagal memberitahu majikannya, pembayaran elaun bersalin kepadanya boleh ditahan sehingga ia memaklumkan majikan sewajarnya.

[S. 40(2) AK]

Notis dari pekerja kepada majikan boleh diberi secara lisan atau bertulis dan notis tersebut boleh diberi kepada penyelia atau mana-mana orang yang dilantik oleh majikan bagi tujuan tersebut.

[S. 40(7) AK]

Kegagalan memberitahu majikan akan tarikh jangkaan bersalin tidak menyekat kelayakannya untuk mendapat elaun bersalin sekiranya kegagalan itu disebabkan oleh kesilapan pekerja atau lain-lain sebab yang munasabah.

Malahan majikan diikehendaki membayar elaun bersalin walaupun tidak ada notis diberikan kepadanya sekiranya majikan tidak prejudis terhadap kegagalan pemberian notis tersebut.

[S. 40(5) & (6) AK]

3. BAYARAN ELAUN BERSALIN

Setiap pekerja wanita berhak mendapat elaun bersalin pada kadar upahnya yang biasa bagi sehari atau pada kadar tidak kurang daripada RM6/= sehari, yang mana lebih tinggi.

[S. 37(2) AK]

Seseorang pekerja wanita yang menerima gaji bulanan semasa ia dalam cuti bersalin tidak berhak mendapat apa-apa bayaran bagi tujuan cuti bersalinnya.

[S. 37(2) AK]

4. PENAMATAN PERKHIDMATAN SEMASA CUTI BERSALIN

Pekerja wanita tidak boleh dipecat daripada pekerjaannya semasa dalam cuti bersalin.

[S. 40(3) AK]

Seseorang pekerja wanita:-

(i) yang masih tidak hadir bekerja selepas berakhir tempoh kelayakan cuti bersalinnya dengan sebab sakit yang disahkan oleh pegawai perubatan yang berdaftar; dan

(ii) yang sakit akibat kehamilan dan kerana bersalin, tidak boleh ditamatkan perkhidmatannya atau tidak boleh diberi notis penamatan perkhidmatan sehingga ketidakhadirannya itu melebihi 90 hari.

[S. 42(1) AK]



Jadi.... takde sebablaa kan untuk bank tuuu tak mau bayar elaun bersalin staff dia..
(HR bank tu kata, dalam kontrak tak dinyatakan tentang kelebihan elaun bersalin.... yang staff nie pun... ngaku jee laaaa... tetapi dalam Akta Kerja ada satu clause yang mana, apa-apa Kontrak Pekerjaan yang mengurangkan benefit pekerja berbanding apa yang dinyatakan dalam Akta akan terbatal... ok.. nanti aku sambung lagiii bab CLAUSE tesebut...jumpa lagi)

Thursday, November 12, 2009


Baru-baru nie aku dapat tahu yang ada organisasi (Bank ternama & terbesar di Malaysia) mengambil mudah tentang hak pekerja… ada yang bersalin & tak diberi elaun bersalin (gaji 60 hari)…ada kes tuu diorang dah bayar gaji semasa cuti bersalin… kemudiannya pada bulan dia bekerja gajinya dipotong lump sum…siannya.. baki gaji yang tinggal cuma ciput jee lahh… (yang aku peliknya nape laaa diaorang tak buat laporan kat pejabat buruh, katanya tak mau cari gaduh dengan bebudak HR)
Okay lah.. kali nie kita bincangkan berkaitan dengan hak-hak pekerja laa.. aku harap jangan laaa ada HR yang kejam sampai tak bagi hak yang sepatutnya pekerja dapat…kan ke HR diamanahkan oleh majikan untuk laksanakan sepatutnya yang patut..



Beberapa persoalan mudah yang perlu di ketahui oleh setiap pekerja... & majikan..

Adakah anda seorang pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja 1955?
Pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 ialah semua pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM1,500.00 sebulan dan semua pekerja manual tanpa had gaji. Jika anda seorang pekerja asing yang sah penggajiannya di negara ini, anda juga dilindungi oleh Akta Kerja 1955.

Apakah Kontrak Perkhidmatan?
Kontrak Perkhidmatan ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi kepada semua pekerja pada atau sebelum beliau mula bertugas. Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.

Apakah keadaan menyebabkan sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi?

Keadaan yang boleh membawa kepada sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi adalah jika:- Majikan gagal membayar gaji dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir bagi tempoh upah. Pekerja tidak hadir kerja selama lebih daripada dua hari berturut-turut tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan waktu kerja biasa?
“Waktu Kerja Biasa” ialah waktu kerja seperti yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan sebagai waktu-waktu kerja biasa dalam sehari. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi: 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat; 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit; dan 48 jam seminggu.

Atas persetujuan bersama, pekerja boleh bekerja 9 jam sehari tetapi tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'kerja lebih masa' ?
Kerja lebih masa bermakna bilangan jam kerja yang dilakukan melebihi masa kerja normal sehari.

Berapakah kadar bayaran kepada pekerja yang bekerja lebih masa?
Kadar bayaran kerja lebih masa hendaklah sekurang-kurangnya seperti berikut: Pada hari kerja biasa, 1 1/2 kali kadar gaji sejam. Pada hari rehat, 2 kali kadar gaji sejam. Pada hari cuti am, 3 kali kadar gaji sejam.

Adakah had jumlah jam kerja lebih masa yang boleh dilakukan oleh pekerja dalam sebulan?
Seseorang pekerja tidak boleh dikehendaki bekerja lebih masa melebihi 104 jam dalam sebulan.

Adakah wajib bagi kontrak perkhidmatan untuk menyatakan tempoh gaji?
Berapakah tempoh gaji yang sepatutnya?
Setiap kontrak perkhidmatan wajib menyatakan tempoh gaji yang tidak melebihi satu bulan. Sekiranya kontrak tersebut tidak menyatakan tempoh gaji tersebut, tempoh tersebut akan dikira sebagai sebulan.

Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja-pekerja?
Gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) dibayar tidak lewat dari hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji. Majikan boleh memohon melanjutkan masa pembayaran gaji daripada Ketua Pengarah Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.

Bilakah gaji patut dibayar kepada pekerja apabila sesuatu kontrak perkhidmatan telah tamat tempohnya?
Gaji patut dibayar kepada pekerja tidak lewat daripada hari penamatan kontrak.

Bilakah gaji harus dibayar jika pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1) atau (2) atau Seksyen 14(3) Akta?
Dalam situasi bila mana pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis, gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) hendaklah dibayar tidak lewat dari hari ketiga selepas kontrak ditamatkan.

Bilakah gaji harus dibayar jika majikan telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1, (2) atau 14(1) Akta?
Gaji patut dibayar kepada pekerja sebaik sahaja kontrak ditamatkan.

Adakah sah dari segi undang-undang bagi majikan yang membuat potongan dari gaji pekerjanya?

Majikan boleh membuat potongan dari gaji pekerjanya tanpa kebenaran pekerjanya dalam bentuk-bentuk berikut:- Terlebih bayar dengan tidak sengaja dalam masa tiga bulan terdekat dari tempoh bulan pengurangan itu dibuat; Indemniti kepada majikan oleh pekerja di bawah Seksyen 13(1); Pendahuluan gaji tanpa sebarang faedah yang dikenakan kepada pendahuluan gaji tersebut; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sumbangan keselamatan sosial, cukai pendapatan serta lain-lain perkara yang dibenarkan oleh undang-undang.

Apakah jenis pekerjaan yang mana wanita dilarang melakukannya di bawah Akta?
Jenis pekerjaan di mana seseorang wanita dilarang melakukannya adalah seperti berikut:
i. Kerja bawah tanah;
ii.Bekerja di sektor perusahaan/pertanian di antara pukul 10.00 mlm sehingga 5.00 pagi tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh.

Secara amnya, apakah faedah-faedah bersalin yang diberikan kepada pekerja-pekerja wanita di bawah Akta?
Secara amnya, setiap pekerja wanita adalah layak untuk mendapat cuti bersalin untuk tempoh masa tidak kurang dari 60 hari berturut-turut (tempoh masa yang diperuntukkan) dan elaun bersalin adalah tertakluk kepada tempoh kelayakan.

Bilakah sepatutnya cuti bersalin bermula?
Cuti bersalin boleh bermula dalam tempoh tiga puluh hari sebelum bersalin.

Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum pekerja layak mendapat elaun bersalin?
Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-
i. mempunyai kurang daripada lima orang anak yang hidup.
ii. mesti bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin.

Bagaimanakah elaun bersalin dikira?
Elaun bersalin adalah berdasarkan gaji bulanan jika pekerja dibayar gaji mengikut kadar bulanan yang diterima. Elaun bersalin boleh juga dibayar mengikut kadar upah biasa harian atau mengikut kadar RM6.00 sehari, yang mana lebih tinggi untuk tempoh 60 hari berturut-turut.

Bilakah elaun bersalin harus dibayar?
Elaun bersalin hendaklah dibayar sebagaimana pembayaran gaji seolah-olah elaun itu adalah gaji dan hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji.

Berapakah kelayakan cuti sakit seseorang pekerja dalam setahun?
Kelayakan cuti sakit bergaji adalah seperti berikut: Kurang dari 2 tahun perkhidmatan - 14 hari dalam setahun kalendar. lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 18 hari dalam setahun kalendar. 5 tahun dan lebih - 22 hari dalam setahun kalendar.

Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat cuti sakit?
Pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji bagi tempoh di mana pekerja berhak mendapat elaun bersalin atau menerima pampasan bagi ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Berapa lamakah tempoh notis penamatan kontrak perkhidmatan yang perlu majikan dan pekerja berikan?
Sekiranya kontrak perkhidmatan tidak menetapkan tempoh notis, tempoh notis hendaklah seperti berikut: 4 minggu notis – jika berkerja kurang daripada dua tahun; 6 minggu notis – jika bekerja 2 tahun atau lebih tetapi kurang daripada 5 tahun; atau 8 minggu notis – jika bekerja 5 tahun atau lebih.

Adakah boleh bagi majikan atau pekerja menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis?
Majikan atau pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis dalam keadaan berikut:- Dengan membayar indemniti ganti notis. Sekiranya berlaku apa-apa perlanggaran yang disengajakan terhadap syarat-syarat kontrak perkhidmatan.


Apakah peraturan yang memperuntukkan kelayakan Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara (Termination and Lay-off benefits) yang diliputi di bawah Akta ini?
Peraturan-peraturan Kerja (Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980

Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat faedah pemberhentian kerja?
Seseorang pekerja tidak layak menerima faedah penamatan kerja dan rentikerja sentara dalam keadaan-keadaan berikut:- bekerja kurang daripada 12 bulan sebelum tarikh penamatan. kontrak perkhidmatan telah diperbaharui atau kontraknya disambung semula dengan syarat-syarat perkhidmatan yang tidak kurang faedahnya daripada syarat-syarat dahulu. sekiranya majikan telah memberi notis penyambungan kontrak sebelum 7 hari daripada kontrak ditamatkan dengan syarat-syarat perkhidmatan tidak kurang faedahnya. Selepas menerima notis penamatan, pekerja meninggalkan tempat kerja tanpa persetujuan majikan atau membayar bayaran ganti notis.

Berapakah kadar bayaran faedah penamatan kerja?
Pekerja layak mendapat bayaran faedah penamatan kerja tidak kurang daripada:- bekerja lebih daripada setahun tetapi kurang daripada dua tahun - 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan. lebih dua tahun tetapi kurang lima tahun - 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan. lima tahun dan lebih - 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Bilakah sepatutnya bayaran faedah penamatan kerja dibuat?
Bayaran faedah penamatan kerja perlu dibayar dalam masa 7 hari selepas penamatan.


Apakah faedah yang diperolehi oleh majikan setelah mendaftar dengan Majlis Pembangunan Sumber Manusia?
Majikan yang telah mendaftar dan membayar levi Pembangunan Sumber Manusia layak mendapat bantuan kewagan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja

Ok selepas kita dah faham serba sedikit tentang Akta Kerja…nanti kita bincang khusus tentang hak-hak wanita yang bersalin semasa dia bekerja… tungguu aku free sikit laaa